Tolak keputusan DNAA antara tuntutan Bersih

Tolak keputusan DNAA antara tuntutan Bersih

bersih
Perhimpunan #Reformasi100Peratus di luar bangunan Parlimen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Reformasi 100 Peratus anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di laluan masuk bangunan Parlimen di sini bertujuan menuntut tiga agenda reformasi kepada kerajaan. 

Antara tuntutannya adalah pelaksanaan agenda reformasi sepenuhnya khususnya dalam sistem pilihan raya dan institusi utama; menolak keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dan tindakan banteras yang lebih adil. 

Timbalan Pengerusi Bersih, Wong Yan Ke berkata, pihaknya mendesak kerajaan menyediakan garis masa dan pelan perancangan pelaksanaan agenda reformasi berasaskan keutamaan demi rakyat.

Menurut beliau, antara tuntutan segera ialah  menambah baik kaedah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dengan melibatkan JawatanKuasa Parlimen supaya pihak boleh membahaskan secara demokrasi dan inklusif.

“Semua ini ada dalam janji manifesto Pakatan Harapan (PH). Kita juga sekeras-kerasnya menolak DNAA terhadap ahli politik yang sedang dibicarakan kes rasuah dan salah guna kuasa.

“Kerajaan perlu mempertahankan dan mengangkat kedaulatan undang-undang serta jangan sesekali mencampuri proses perbicaraan mahkamah dengan menggugurkan kes. 

“Dalam masa sama, Perdana Menteri dan Peguam Negara perlu meletakkan dasar moratorium untuk pemberian DNAA ke atas kes rasuah terutamanya melibatkan ahli politik,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan #Reformasi100Peratus di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Yan Ke berkata, pihaknya turut menolak undang-undang dua darjat terutamanya membabitkan kes-kes ahli politik. 

“Bersih dan rakyat Malaysia masih menunggu apakah alasan di sebalik kes Najib (Datuk Seri Najib Razak) didahulukan berbanding ratusan kes lain yang sedang didengari untuk diampunkan.

“Kita gesa tuntutan ini dipandang serius oleh kerajaan Madani dan ahli-ahli Parlimen untuk terus mendesak pelaksanaan reformasi dalam negara,” kata beliau.

Terdahulu, dianggarkan kira-kira 60 peserta yang majoriti memakai pakaian berwarna kuning dan hitam mula berkumpul seawal pukul 8 pagi dan memulakan perarakan dari Plaza Tugu Negara menghala ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN