MUAR: Tiga sahabat berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 82.86 kilogram (kg), hujung bulan lalu.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhamad Amirul Azhar, 31, Muhammad Nazry Iskandar, 27, dan Mahathir Hamzi, 24.
Mereka hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.
Tiga sahabat berkenaan didakwa dengan niat bersama mengedar dadah anggaran kasar seberat 82,866 gram syabu di sebuah rumah di Sungai Balang Darat, dekat sini pada pukul 6.45 petang, 24 Januari lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Sesyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Arif Marzuki, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela dan tiada jaminan ditawarkan.
Mahkamah menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pada 28 Januari lalu, Utusan Malaysia melaporkan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa tumpas setelah lapan individu termasuk dalang sindiket ditahan dalam lima serbuan di tiga negeri, pada 24 dan 25 Januari lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam serbuan bermula 6.30 petang hingga 7 pagi turut merampas pelbagai jenis dadah hampir 83 kilogram (kg) bernilai RM2.73 juta.
Kesemua suspek berusia 23 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor di Parit Jawa, Muar; Permatang Pauh, Pulau Pinang dan Muadzam Shah, Pahang. – UTUSAN










