Tiada keperluan bincang dengan DAP - Pemuda UMNO

Tiada keperluan bincang dengan DAP – Pemuda UMNO

Dr. Muhamad Akmal Saleh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk UMNO berbincang dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung isu pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ketetapan UMNO itu selari dengan Perlembagaan yang mengiktiraf bumiputera sahaja sebagai penduduk asal seperti mana ia disebut setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini.

Tegas Muhamad Akmal lagi, jika perbincangan itu diadakan, UMNO akan menggunakan ruang tersebut untuk menjelaskan kepada menteri berkenaan mengenai sejarah kependudukan asal dalam negara.

“Tiada keperluan untuk berbincang tentang isu Kampung Baru Cina kerana prinsip kita tetap kekal untuk tidak bersetuju dengan cadangan itu melainkan jika Kor Ming mahu kami ajarkan tentang sejarah dan Perlembagaan yang hanya mengiktiraf bumiputera sebagai penduduk asal, boleh sahaja kita jumpa dan terangkan.

“Kita panggil bincang dengan Kor Ming, itu lebih baik,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Kor Ming berkata, beliau akan memanggil semua pimpinan UMNO untuk berbincang mengenai pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, perbincangan berkenaan bertujuan memastikan kepimpinan UMNO tidak terpesong dengan fakta dan sentimen yang dipermainkan Perikatan Nasional (PN).

“Saya ada berhubung dengan pemimpin UMNO dan ajak mereka bermusyawarah supaya dapat berbincang dan mengetahui hakikat atau fakta sebenar,” jelas Kor Ming sebelum ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Akmal turut berkata, UMNO tidak akan teragak-agak untuk menentang DAP jika melampaui garisan yang ditetapkan sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Bibit-bibit (melampaui batas) sudah ada, dan jika mereka mahu kekal bersama dalam kerajaan ini maka jangan sekali-kali melampaui garisan yang ditetapkan semasa perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan.

“Jika melampaui, kita tidak teragak-agak untuk menentang sehabisnya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim juga turut mempersoal adakah menteri mengambil kira kepentingan masyarakat lain termasuk Melayu dan India.

“Jadi dengan keghairahan ini, muncul persoalan yang bangkit dari hak bersama kenegaraan, adakah kampung masyarakat India, berhampiran Batu Caves dimasukkan? Adakah kampung Orang Asli tidak disenaraikan sama?

“Kampung seperti Kampung berjuntai, Kampung Kuala Linggi, Kampung Sungai Choh, Kampong Bharu, Kampung Datuk Keramat, Kampung Majidee, adakah kampung-kampung ini tidak masuk kira dalam menjadikan tapak warisan UNESCO?

“Terasa seperti kepentingan masyarakat lain tidak ditimbulkan. Saya ingin nasihatkan rakan dalam kementerian, buat kerja rumah lebih teliti dan jangan di ‘gong’ kan dulu sebelum gong itu dipalu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN