SEREMBAN: Tiada sebarang gerakan untuk menggulingkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang kononnya didalangi ketua-ketua bahagian parti itu termasuk dari Negeri Sembilan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias menegaskan, beliau juga tidak tahu bagaimana perkara itu boleh timbul ketika pucuk pimpinan parti ketika ini berusaha menyelesaikan beberapa isu termasuk melibatkan pengampunan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Perkara tersebut tidak berlaku di Negeri Sembilan dan UMNO negeri, insya-Allah tidak diganggu gugat dan saya yakin dengan kepemimpinan UMNO negeri, ditambah sokongan solidariti dari ketua bahagian, pemuda, wanita dan puteri bahagian.
“Setakat ini UMNO sebagai sebuah parti yang terus berusaha melaksanakan program berkaitan dengan rakyat, untuk kukuhkan parti, tidak ada unsur-unsur membawa perpecahan terutamanya melibatkan institusi Presiden.
“Tapi tidak dinafikan dalam UMNO termasuk juga parti lain ada yang suka, ada yang tidak suka. Tetapi berhubung gerakan tersebut memang tidak ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Sendayan di sini.
Semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menafikan terdapat gerakan mahu menggulingkan Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO.
Dalam pada itu, Jalaluddin turut menempelak kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim yang memberikan cadangan supaya UMNO menggantikan Ahmad Zahid dengan individu lain sebagai Presiden UMNO.
Beliau berkata, sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), kenyataan Hassan itu sangat tidak beradab terhadap parti sekutu.
“Jangan campur, jagalah parti awak sendiri, pendirian ini perlu ada pada semua kepemimpinan sama ada di peringkat negara, negeri di mana perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan dengan itu barulah adanya kesefahaman.
“Tetapi adalah satu, dua yang memekak ke hulu-hilir, dan orang sebegini mesti ditegur dan wajar diambil tindakan disiplin.
“Kami (ahli) UMNO pun tidak ada mana-mana pemimpin parti membuat apa-apa kenyataan yang boleh menguris dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sedangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati UMNO tetapi anak buah pula keluarkan kenyataan sebegitu yang boleh mendatangkan kemarahan ahli UMNO,” katanya lagi.-UTUSAN.










