PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seluruh rakyat akan taat dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Perdana Menteri turut merafak sembah dan mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Seri Paduka yang memulakan pemerintahannya lima tahun, selepas melafaz sumpah memegang jawatan dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara semalam.
“Patik dan sekalian rakyat akan terus memberi ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Duli Tuanku.
“Patik dan sekalian rakyat juga mendoakan ke hadrat Allah SWT semoga Duli Tuanku serta seluruh kerabat diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam kenyataan berasingan, Anwar berkata, kerajaan mendukung sepenuhnya dan mengalu-alukan titah Seri Paduka yang mahu melihat Malaysia meneruskan tadbir urus yang baik, telus, pemacuan ekonomi mampan serta memberi sepenuh perhatian kepada usaha meningkatkan darjat kehidupan rakyat.
Menurut beliau, titah tersebut juga menjadi hasrat jutaan rakyat yang mahu melihat kestabilan negara demi kemakmuran dan kesejahteraan serta peluang dan masa hadapan yang lebih baik untuk semua. – UTUSAN










