SEREMBAN: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas empat pertuduhan mencuri barangan di dalam kenderaan di kawasan pantai peranginan Port Dickson.
Pasangan berkenaan yang sebelum ini merupakan peniaga air balang di Melaka, Amirull Mu’minin Mustaffa dan Nor Asedah Zaidi masing-masing berusia 38 tahun bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali.
Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-duanya secara bersama telah mencuri sebuah tablet komputer dan sebuah telefon bimbit di bawah jagaan seorang lelaki berusia 31 tahun pada pukul 1 hingga 4.30 petang, 20 Januari lalu di kawasan parkir, pantai Batu 8, Telok Kemang.
Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-duanya telah mencuri harta kepunyaan seorang wanita berusia 22 tahun iaitu sebuah komputer riba di antara pukul 11.30 pagi hingga 2 petang di tempat letak kereta berhampiran PD Wellness, 27 Januari lalu.
Pertuduhan ketiga pula, pada tarikh dan anggaran masa yang sama, kedua-duanya ketika di sebuah stesen minyak telah mencuri harta seorang wanita berusia 28 tahun iaitu menggunakan kad bank dan mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebanyak RM1,250 dan RM 1,802.
Bagi pertuduhan keempat pula, kedua-duanya dengan niat telah mencuri sebuah kamera dan lensa di bawah jagaan seorang lelaki berusia 25 tahun di hadapan sebuah banglo di Tanjung Biru di sini kira-kira pukul 2 petang, 4 Februari lalu.
Untuk kesemua pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian boleh dihukum penjara dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzati Mohd. Zainal memohon satu tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam dan tawaran wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuan melalui Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Iwana Sakinah Mohd Lajis memohon wang jaminan dikurangkan.
Majistret kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan keseluruhan RM10,000 bagi setiap individu dengan seorang penjamin serta kes disebut semula pada 26 Mac ini.
Pada 14 Februari lalu, media melaporkan enam individu termasuk dua orang wanita ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah cermin kereta dan curi barang dalam kenderaan di sekitar daerah Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua suspek ditangkap di Melaka dan Kedah pada 6 dan 7 Februari lalu dan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan kira-kira RM70,000 melibatkan telefon bimbit, komputer riba, dokumen peribadi, kamera dan wang tunai.-UTUSAN.










