SEREMBAN: Seorang penjawat awam direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki menyalahguna kedudukannya dengan melantik syarikat milik isteri bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan di jabatannya.
Permohonan reman telah dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Zainab Yahya di hadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.
Sementara itu menurut sumber, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan suspek lelaki berusia 49 tahun itu pada pukul 11.55 malam semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Berdasarkan siasatan yang dijalankan, sebanyak empat syarikat milik isterinya telah mendapat kerja-kerja pembekalan dan perkhidmatan yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM540,517.85.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.-UTUSAN.










