Rokok seludup hampir RM900,000 dirampas di Pulau Pinang

Rokok seludup hampir RM900,000 dirampas di Pulau Pinang

RUSLEY Chi Ari (tengah) bersama sebahagian daripada rokok putih yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan George Town, Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas 840,000 batang rokok putih jenis Forman bernilai RM877,800 termasuk cukai dalam serbuan di sebuah rumah di pusat bandar yang dipercayai dijadikan tempat simpanan rokok yang diseludup semalam.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, rampasan itu dibuat susulan pelancaran Op Taring Landai Kontraban bermula Selasa lalu khususnya di sekitar kawasan George Town, di sini.

“Menerusi pemerhatian dan risikan yang dijalankan sempena operasi itu, semalam, Unit Risikan Marin (URM) telah berjaya mengesan sebuah rumah yang dijadikan tempat simpanan rokok tidak bercukai.

”Pemerhatian selama hampir 72 jam juga mendapati, tidak orang yang hadir ke premis berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Rusley, pemeriksaan lanjut yang dijalankan di rumah tersebut kemudian berjaya menjumpai 84 kotak berisi 4,200 karton bersamaan 840,000 batang rokok putih jenis Forman yang kemudiannya dirampas untuk tujuan siasatan.

RUSLEY Chi Ari menunjukkan sebahagian daripada rokok putih yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan George Town, Pulau Pinang

”Kesemua rokok yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM877,800 termasuk cukai dan ketika ini, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket rokok seludup itu serta pemilik rumah tersebut untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, polis akan terus menjalankan operasi dan serbuan bagi membanteras jenayah penyeludupan kontraban yang merugikan pihak kerajaan.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang info berhubung kes itu atau lain-lain kes berkaitan penyeludupan untuk menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak polis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN