RANTAU PANJANG: Kewujudan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) merupakan salah satu usaha kerajaan dalam menangani isu psikososial dalam masyarakat di negara ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, PSSS menawarkan perkhidmatan psikososial yang holistik seperti sesi bimbingan dan kaunseling serta transit sementara kepada kumpulan terlibat.
Menurutnya, usaha itu secara tidak langsung akan memberi kelegaan segera kepada mereka.
“Antara isu psikososial yang sering terjadi dalam masyarakat adalah seperti isu keganasan rumah tangga, pasca perceraian, pengabaian, penderaan, gangguan seksual, pemerdagangan manusia, kesihatan mental, ketagihan dadah dan rujukan kebajikan.
“Penubuhan PSSS ini adalah rentetan daripada jelajah outreach perkhidmatan PSSS secara bergerak (mobile) ke seluruh negara yang dilaksanakan sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian PSSS Transit Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Rantau Panjang di Perumahan Kastam di sini hari ini.
Nancy memberitahu, sejak Disember 2021 sehingga Januari lalu, seramai 44,783 orang telah mendapatkan khidmat bantuan psikososial di seluruh negara bagi pelbagai kes termasuk yang dirujuk kepada jabatan serta agensi dan kementerian yang berkaitan.
Katanya, beliau menyeru agar masyarakat sentiasa peka dan prihatin terhadap orang sekeliling khususnya keluarga, saudara atau jiran terdekat yang memerlukan bantuan psikososial serta mendapatkan bantuan intervensi awal di PSSS.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata, PSSS Transit di Rantau Panjang menjadi PSSS pertama di Malaysia yang dibuka bagi membantu menangani isu psikososial dalam kalangan masyarakat.
Katanya, pembukaan PSSS Transit berkenaan merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) yang membabitkan peruntukan berjumlah RM1.5 juta.
“Bangunan PSSS Transit ini merupakan sebahagian daripada bekas kuarters kakitangan Kastam Diraja Malaysia dan diubahsuai mengikut spesifikasi keperluan,” ujarnya.-UTUSAN










