KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan ke Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya perlu berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah cadangan rang undang-undang perlu dibawa kepada Kabinet untuk mendapat keputusan dasar sebelum dibawa ke peringkat penggubalan.
Menurut beliau, proses RUU 355 kini di peringkat libat urus yang sedang dilakukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan melibatkan semua pemegang taruh termasuk majlis agama Islam negeri (MAIN).
“Saya difahamkan sesi libat urus itu di peringkat akhir, jadi laporan belum lagi disediakan. Insya-Allah saya akan bincang dengan PM (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selepas itu.
“Kita akan bawa semula cadangan RUU 355 kepada Kabinet untuk mendapat keputusan dasar sebelum dibawa ke Parlimen,” katanya dalam sidang media selepas Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 di Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Penggubalan semula Akta 355 itu hasil Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 dilihat akan menyeragamkan kuasa Mahkamah Syariah di negara ini.
INTEGRITI
Mengulas kritikan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa negara Islam hilang integriti kerana mengekalkan undang-undang penjajah, Na’im meminta semua pihak menghormati titah Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Menurutnya, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah meminta semua pihak menghormati termasuk keputusan Mahkamah Persekutuan mebabitkan kes Nik Elin Nik Abdul Rashid.
Sementara itu, Mohd. Na’im menjelaskan cadangan penubuhan Jabatan Penguatkuasaan Syariah di setiap negeri bertujuan siasatan dijalankan ke atas satu-satu aduan kesalahan dilakukan tidak dipengaruhi sebarang pengaruh eksekutif.
Katanya, unit penguatkuasaan sedia ada terletak sebagai salah satu unit atau bahagian di bawah Jabatan Agama Islam negeri-negeri.
“Jadi, unit ini berada di bawah jabatan eksekutif, saya sudah jelaskan semalam untuk memastikan pengukuhan sistem kehakiman syariah boleh dicadangkan supaya bahagian penguatkuasaan di bawah kuasa eksekutif jabatan agama islam negeri-negeri di bawa keluar.
“Sebab kita nak pastikan supaya siasatan yang dijalankan ke atas satu-satu aduan kesalahan yang dilakukan tidak dipengaruhi oleh sebarang pengaruh eksekutif,” katanya.- UTUSAN










