Mohd. Na’im jamin terus usaha perkasa Akta 355

Mohd. Na’im jamin terus usaha perkasa Akta 355

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan akan terus memperkukuhkan lagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 selagi ia memberi manfaat kepada umat Islam.

Perkara tersebut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Nai’im Mokhtar ketika mengulas masa depan kepada pindaan akta itu.

“Saya hendak tekankan di sini bahawa apa sahaja dasar sebelum ini yang banyak beri manfaat kepada agama Islam serta rakyat akan terus kita pertahan dan diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jualan Rakyat Penjawat Awam di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang menawarkan potongan harga 50 peratus turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Ini penampilan buat julung kali Mohd. Na’im pada program rasmi agensi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia setelah dilantik sebagai anggota Kabinet pada 3 Disember lalu.

Akta tersebut yang turut dikenali sebagai Akta 355 sepatutnya dibentangkan untuk pindaan pada persidangan hujung Oktober lalu namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.

Draf pindaan kepada akta berkenaan yang dirujuk sebagai Rang Undang-Undang (RUU) 355 bagaimanapun sudah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara pada 7 Oktober lepas.

Penggubalan semula Akta 355 hasil Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Ke-27 pada 2021 bakal menyeragamkan kuasa mahkamah syariah di Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im yang sebelum ini merupakan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memberi jaminan bahawa Kabinet akan memperhalusi RUU 355, namun akan dibawa untuk dibincangkan teliti dalam Kabinet kerana keputusan dibuat secara kolektif.

Pada dasarnya ujar beliau, pembentangan RUU 355 adalah amat positif kerana ia adalah sebahagian daripada usaha memartabatkan kuasa mahkamah syariah seluruh negara.

Bagaimanapun beliau meminta pihak media memberi peluang kepada dirinya untuk faham terlebih dahulu pada peringkat awal mengenai sebarang isu berkaitan hal ehwal Islam.

Beliau bahkan telah mengambil inisiatif untuk bertemu sendiri sultan-sultan di semua sembilan negeri beraja yang berperanan sebagai ketua agama Islam di negeri masing-masing.

Untuk permulaan Mohd. Na’im sudah pun menghadap Sultan Selangor dan Perak selain mengadakan perjumpaan taklimat dengan semua ketua agensi di bawah Jakim sendiri. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya