Polis selesai rakam keterangan Dd Chronicle didakwa persenda agama - Utusan Malaysia

Polis selesai rakam keterangan Dd Chronicle didakwa persenda agama

Tan Sri Razarudin Husain
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis selesai mengambil keterangan pempengaruh media sosial Dd Chronicle berhubung video yang didakwa mempersendakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 baru-baru ini. 

 Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Dd Chronicle atau nama sebenarnya, Dediy Sulaeman Ra’e, 43, dipanggil ke Bukit Aman pada Khamis lalu untuk proses rakam keterangan. 

 “Rakaman percakapan lelaki itu sudah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada pukul 10.15 pagi, Khamis lalu. 

 “Siasatan berkait kes ini dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

 Menurut beliau, kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk kepada Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam (KUJAKA), Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, esok. 

 Dalam perkembangan sama, Razarudin berkata, setakat  pagi hari ini, sebanyak 49 laporan polis diterima terhadap Dd Chronicle di seluruh negara. 

 Katanya, laporan polis tertinggi dibuat di Johor dengan12 laporan, Pahang (lima) masing-masing empat laporan di ibu negara, Melaka, Perak dan Selangor, masing-masing tiga di Sabah, Kelantan dan Kedah. 

 Dua laporan di Negeri Sembilan dan Terengganu dan masing-masing satu laporan di Perlis, Pulau Pinang dan Sarawak. 

 Terdahulu, seorang pempengaruh media sosial, didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas memuat naik video parodi dipercayai berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, baru-baru ini. 

 Video berdurasi tiga minit 55 saat itu memaparkan lakonan pempengaruh itu dengan skrip menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi, tidak akan dikenakan hukuman. 

 Tindakannya itu mengundang kecaman netizen sehingga ada yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu terbabit. 

 Difahamkan, pempengaruh media sosial itu sudah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN