SHAH ALAM: Lebih 30 laporan polis dibuat Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) terhadap seorang pempengaruh media sosial, Dd Chronicle yang didakwa membuat video parodi mempersenda keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Timbalan Ketua Pemudanya, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata, kesemua laporan ke atas Dediy Sulaeman Ra’e, 43, itu dibuat kepimpinan dan ahli parti di seluruh negara hari ini.
Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu, tindakan berkenaan dianggap mempersendakan enakmen hukuman Makhamah Syariah yang seolah-olah terbatal biarpun ia masih termaktub di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019.
“Beliau menggunakan contoh kes arak, judi dan liwat telah terbatal dan rakyat Malaysia boleh membuat perkara itu tanpa mendapat sebarang hukuman.
“Ini jelas mengelirukan, memesongkan fakta dan berniat mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara,” katanya selepas tampil membuat laporan polis berhubung isu itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, hari ini.
Baru-baru ini, video dimuat naik Dd Chronicle dikecam netizen kerana didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah.
Video berdurasi lebih tiga minit itu memaparkan pempengaruh berkenaan menyatakan perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.
Namun, dia kelmarin tampil memberi penjelasan terlepas pandang dan tidak berwaspada terhadap fakta walaupun hanya untuk video parodi.
Oleh demikian, Danial menggesa polis menjalankan siasatan lanjut ke atas pempengaruh berkenaan.
“Kesalahan itu antaranya mengikut Seksyen 4 (1) Akta hasutan 1948 (Akta 15) dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi (kandungan menghina).
“Selain itu, ia melibatkan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559) iaitu menghina atau menyebabkan agama Islam dipandang hina,” ujarnya. – UTUSAN










