PKR belum tentukan nasib Ahli Parlimen Pasir Gudang  - Utusan Malaysia

PKR belum tentukan nasib Ahli Parlimen Pasir Gudang 

Fahmi Fadzil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: PKR belum membuat keputusan untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim atas sikapnya mencampuri urusan parti politik lain. 

Ini selepas Hassan mencabar pimpinan PKR dengan kesediaannya diambil tindakan disiplin termasuk dipecat, jika haknya untuk bersuara dianggap sebagai kesalahan. 

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tidak timbul  tindakan disiplin terhadap Hassan kerana belum ada mesyuarat rasmi yang akan menentukan nasibnya.

Bagaimanapun, Fahmi mengingatkan Hassan jika mahu memberi teguran kepada mana-mana parti lain , maka, beliau juga perlu bersedia menerima teguran. 

“Kita tunggulah (sama ada mahu ambil tindakan), waktu ini kita belum mengadakan mesyuarat. Jadi, perkara ini (tindakan disiplin) tidak timbul. 

“Saya hormat beliau, malah beliaulah sebab saya berkecimpung dalam politik. Pada masa sama, kalau kita ingin menegur mana-mana pihak, kita juga mesti sedia menerima teguran. Jadi, saya ambil maklum akan pandangan beliau, jika parti (mahu) buat apa-apa tindakan, kita serah kepada parti. 

“Dalam Keadilan ini tegur-menegur adalah biasa, cuma ada beberapa perkara menjadi disiplin kepada parti dan kalau beliau boleh tegur, maka beliau juga boleh ditegur,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Forum Teknologi Sidang Kemuncak Komunikasi Malaysia ‘Melakar Masa Depan Bersama’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Fahmi  berkata demikian mengulas kenyataan Hassan yang dilaporkan sedia dipecat jika haknya untuk bersuara dianggap salah. 

Malah Hassan juga memberitahu beliau tidak gentar dengan teguran Fahmi untuk tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan yang disifatkan ‘menjaga tepi kain parti politik lain’. 

Terdahulu, Hassan mengkritik UMNO yang didakwa perlu diterajui muka baharu dan tidak hanya ‘menumpang dahan’ Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diakuinya ‘rapuh’ untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN