KUALA LUMPUR: Pendirian yang sering bertentangan meskipun berada dalam barisan kerajaan membuatkan seorang Ahli Parlimen veteran PKR, Hassan Abdul Karim menjadi tumpuan masyarakat ketika beliau memberikan pandangan.
Menurut Hassan, beliau perlu mengambil langkah tersebut memandangkan dirinya adalah seorang pemimpin yang lama dalam politik dan tidak akan akur pada perkara yang tidak bertepatan dengan Perlembagaan negara.
Ketika ditanya sama ada beliau gentar atau tidak mengambil pendirian bertentangan dengan kerajaan, Hassan menegaskan, kezaliman itu tidak boleh dibenarkan berlaku kepada mana-mana pihak termasuklah terhadap pimpinan pembangkang.
“Gentar itu gentar juga bila menongkah arus, dalam Parlimen pula. Saya manusia biasa, ahli Parlimen biasa..bukan berani sangat, takut pun ada. Saya mentimun manakala pemimpin parti dan kerajaan adalah durian.
“Tetapi saya seorang Ahli Parlimen dan seorang peguam. Saya dididik dalam keluarga, di masjid dan di sekolah, di kolej Islam dan di universiti dan dipandu oleh sunnah Rasulullah bahawa kita tidak patut membenarkan kezaliman berlaku hatta terhadap musuh dan lawan kita di hadapan mata kita,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Hasan adalah satu-satunya pimpinan kerajaan yang menyuarakan pandangan bertentangan dalam Dewan Rakyat sewaktu membahaskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selama enam bulan.
Tegas Hassan, tindakan yang tidak membenarkan Wan Ahmad Fayhsal membela dirinya di dalam Dewan Rakyat tersebut adalah suatu tindakan zalim dan tidak sepatutnya berlaku.
Bagaimanapun, Hassan berkata, tindakan itu tidak ditentang mana-mana Ahli Parlimen PKR dan semua pihak mengambil kira pandangannya itu dengan sikap yang lebih terbuka.
“Mereka kenal siapa saya dan menghormati saya. Mereka teguh percaya saya bahawa saya setia pada perjuangan PKR dan setia pada Pakatan Harapan dan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya. – UTUSAN







