Pilihan Raya Belia bazirkan wang, tambah beban SPR

Pilihan Raya Belia bazirkan wang, tambah beban SPR

prn
WAN AHMAD WAN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan untuk melaksanakan Pilihan Raya Belia bagi memilih perwakilan ke Parlimen Belia adalah satu bentuk pembaziran wang rak­yat, selain membebankan bidang tugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, mengadakan Pilihan Raya Belia yang melibatkan sekurangnya lapan juta belia untuk golongan 16 sehingga 35 tahun memerlukan perbelanjaan yang besar.

TUGASAN

“Malah, apabila pemilihan itu melibatkan SPR, ia perlu bersandarkan perundangan dan Akta SPR yang boleh menjadi beban tambahan memandangkan SPR sudah mempunyai terlalu banyak tugasan lain yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan,’’ katanya ketika dihubungi, semalam.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, pemilihan anggota Parlimen Belia dijangka dilakukan menerusi mekanisme se­perti pilihan raya umum (PRU) yang melibatkan rakyat Malaysia berusia 16 hingga 35 tahun.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, langkah itu merupakan pembaharuan Parlimen Belia setelah pihaknya mengambil tugas sepenuhnya platform itu daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menurut beliau, pihaknya berhasrat menjalankan pilihan raya Parlimen Belia setiap dua tahun di seluruh 222 kawasan Parlimen dengan mekanisme­nya sedang diperhalusi.

Wan Ahmad berkata, walaupun Pilihan Raya Belia bagus sebagai penyediaan barisan pelapis kepemimpinan masa hadapan tetapi perkara tersebut tidak begitu sesuai dilaksanakan ketika ini.

Beliau berpendapat, parti-parti politik perlu memberi peluang yang lebih luas kepada golongan belia untuk terlibat dalam organisasi parti dan memberikan pandangan.

“Ketandusan barisan pemim­pin muda di negara kita sebagai pelapis untuk kepe­mimpinan masa hadapan adalah disebabkan budaya berpolitik yang tidak begitu terbuka dalam memberi peluang kepada golo­ngan muda.

“Malah, ada pemimpin parti politik tertentu cuba menyekat anak-anak muda untuk menyertai parti atau enggan beri peluang kepada orang muda,” katanya.

Justeru, kata Wan Ahmad, setiap parti politik perlu mengehadkan tempoh khidmat pemimpin mereka untuk memberi peluang kepada generasi pelapis peluang menonjolkan bakat mereka.

“Ini kerana kepemimpinan negara datangnya dari kepe­mimpinan parti. Reformasi politik ke arah ini yang perlu dititikberat­kan oleh semua parti politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN