MARAN: Kerajaan Pahang akan menyediakan peruntukan khas bagi meningkatkan prasarana tempat-tempat bersejarah yang ada di setiap daerah bagi mengelakkan terus hilang ditelan zaman.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, negeri ini dikurniakan pelbagai keistimewaan alam semula jadi, seni kebudayaan, kesenian dan pemakanan yang perlu dijaga serta boleh dikomersialkan.
Menurutnya, di Maran sahaja banyak produk dan destinasi pelancongan seperti pekan lama Chenor yang menjadi tumpuan pedagang serta ulama zaman berzaman.
“Sejarah tidak pernah berbohong kerana membuktikan Pekan Lama Chenor dilaluan utama Sungai Pahang terdapat pelbagai elemen sejarah yang masih belum terungkai seperti makam Puteri Berdarah Putih di Kampung Gulun, Chenor.
“Jadi, kerajaan bersedia menyalurkan peruntukan bagi menyediakan kemudahan prasarana di mana-mana destinasi pelancongan baru bagi kemudahan pengunjung,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Moh Karnival Makmur 2024 peringkat Daerah Maran yang bertemakan produk pelancongan di Dataran Indera Pahlawan Pekan Lama Chenor di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata, pegawai daerah perlu proaktif melihat tempat bersejarah yang boleh dibangunkan dengan peruntukan yang disediakan secara berperingkat.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi menjayakan Moh Karnival Makmur 2024 yang dilaksanakan di setiap daerah pada setiap bulan.
Menurutnya, Moh Karnival Daerah Maran yang kedua selepas Lipis diikuti daerah Bera pada bulan April dan seterusnya seluruh negeri dengan membawa tema yang berbeza. – UTUSAN










