Permohonan kebenaran mula prosiding komital Isham  4 Mac  - Utusan Malaysia

Permohonan kebenaran mula prosiding komital Isham  4 Mac 

ISHAM JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 Mac ini untuk pendengaran permohonan Peguam Negara mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.

Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P. Kunyalam ketika dihubungi berkata, mahkamah mengarahkan agar hujahan bertulis difailkan pada atau sebelum 29 Februari ini. 

Mustafa memaklumkan tarikh pendengaran tersebut ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar sewaktu pengurusan kes itu hari ini.

Tambahnya,  pendengaran permohonan mendapatkan kebenaran komital itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin. 

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan.

Pada 6 Januari lalu, Peguam Negara mengemukakan permohonan secara ex-parte supaya Isham dikenakan tindakan sama ada dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah.

Permohonan difailkan pada 28 Disember tahun lalu susulan kenyataan Isham atau nama penuhnya, Hizatul Isham Abdul Jalil pada satu temu bual bertajuk “Townhall For Justice: Keadilan Sebenarnya Untuk Siapa?”.  

PROSIDING

Rakaman temu bual yang menyentuh mengenai prosiding perbicaraan dan rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan di laman media sosial facebook “The Malaya Post” pada 30 September 2023.

Menurut afidavit  difailkan, Isham telah  mengeluarkan beberapa kenyataan mempersoal proses perbicaraan dan rayuan melibatkan Najib dalam kes SRC International dan 1MDB.

Berhubung kes 1MDB, Isham didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mempertikai secara tersurat atau tersirat yang membawa maksud Hakim Sequerah bertindak berat sebelah apabila tidak menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan kes itu.

Berhubung kes SRC International, Isham dalam temu bual sama mempertikai proses rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan.

Kenyataan Isham berhubung rayuan akhir Najib itu antara lain menggambarkan panel hakim tersebut telah menghakimi rayuan itu dengan tidak adil.

Rayuan akhir Najib di Mahkamah Persekutuan didengar oleh panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang turut bersidang bersama-sama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Isham dalam temu bual sama turut menyatakan hakim bicara bagi kes SRC International iaitu Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) bertindak secara berat sebelah ketika mendengar kes itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN