KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, pembekuan 11 akuan bank Aman Palestin oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, berhujah, perintah pembekuan itu tertakluk di bawah bidang kuasa SPRM melaksanakan siasatan jenayah.
Hujah beliau, perintah pembekuan hanya dibuat setelah agensi penguatkuasaan memulakan siasatan dengan alasan munasabah yang mengesyaki mana-mana individu melakukan atau melakukan kesalahan pembiayaan keganasan, atau harta itu hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.
Menurut Ahmad Hanir, kuasa mengeluarkan perintah pembekuan adalah satu mekanisme siasatan diperuntukkan mengikut undang-undang dan agensi penguatkuasaan diberi kuasa mengeluarkan perintah itu apabila memenuhi beberapa syarat.
Katanya, peruntukan berkenaan adalah mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).
Beliau menekankan, mahkamah berulang kali berpendirian bahawa fungsi atau kuasa berhubung proses siasatan jenayah tidak boleh dipertikaikan melalui semakan kehakiman.
Ahmad Hanir berhujah demikian ketika mengemukakan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan Aman Palestin untuk mendapat kebenaran mencabar tindakan SPRM membekukan 11 akaun banknya.
Bagaimanapun, peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berhujah, pihaknya perlu dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman kerana permohonan itu mempunyai merit.
Peguam itu berkata, keengganan SPRM membatalkan atau mengubah perintah ‘pembekuan salah’ itu adalah tidak munasabah dan tidak mengikut peruntukan Seksyen 44 (1) Akta AMLATFPUAA.










