Pengusaha stesen minyak didakwa, benar jual diesel kepada pembeli tanpa lesen borong sah - Utusan Malaysia

Pengusaha stesen minyak didakwa, benar jual diesel kepada pembeli tanpa lesen borong sah

HALIL Sharizam Ahmad Shairuzi (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban hari bagi berdepan pendakwaan terhadapnya iaitu membenarkan penjualan diesel secara borong tanpa lesen tahun lalu.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pengusaha stesen minyak dan dua pembeli minyak diesel masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini atas pertuduhan membenarkan penjualan diesel dan pembelian secara borong tanpa lesen tahun lalu.

Orang Kena Saman (OKS), Halil Sharizam Ahmad Shairuzi, 52, dan pembeli minyak diesel, Y. Mathuraiviran, 47, dan G. Gengaderan 52 masing-masing bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi. 

Halil Sharizam yang merupakan pengusaha stesen minyak dan pemilik perniagaan Amaze Link Enterprise  didapati telah membenarkan penjualan diesel kepada kenderaan lori bernombor pendaftaran WQF 2102 iaitu barang berjadual minyak diesel sebanyak 1,013 liter. 

Oleh demikian, OKS gagal untuk mematuhi arahan yang diberi oleh Pegawai Bekalan Malaysia seperti mana dalan surat arahan bertajuk Larangan dan Kawalan ke atas Penjualan Petrol dan Diesel oleh Pemegang Lesen Runcit di seluruh negara. 

Berikutan itu, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 22 (4) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, berdasarkan kertas pertuduhan, Mathuraiviran didapati miliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 507 liter di dalam lori dengan nombor pendaftaran CAF 7370, dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak yang munasabah. 

Gengaderan pula didapati miliki barang kawalan iaitu minyak diesel sebanyak 1,013 liter di dalam lori dengan nombor pendaftaran WQF 2102. 

Oleh itu kedua-duanya telah melakukan kesalahan dibawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen. 

Jika didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM3 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. 

Perbuatan ketiga-tiga OKS itu dilakukan di pam nombor lima, Stesen Minyak Shell, Lot 6834, Mukim Rasah Jalan Mambau 70300 Seremban kira-kira pukul 7.30 petang pada 5 Mei 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria manakala kesemua OKS diwakili peguambela, Rosmira Embong.

Mazni kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,000 dikenakan bagi setiap OKS dan sebutan semula kes pada 13 Mac depan untuk serahan dokumen.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN