Pengasuh taska didakwa aniaya bayi perempuan 10 bulan - Utusan Malaysia

Pengasuh taska didakwa aniaya bayi perempuan 10 bulan

NORSHAM Ismail dibawa anggota polis bagi didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menganiaya ke atas seorang bayi perempuan berusia 10 bulan di sebuah taska di Desa Cempaka, Nilai, Seremban pada 5 Februari lalu.-UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN : Seorang wanita yang juga pengasuh di sebuah taska dekat Desa Cempaka, Nilai, di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menganiaya atau bertindak cuai ke atas seorang bayi perempuan berusia 10 bulan pada 5 Februari lalu. 

Tertuduh, Norsham Ismail, 66, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicara selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang bayi perempuan berusia 10 bulan 30 hari didapati telah menganiaya atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan cara menampar muka mangsa. 

Perbuatan itu dilakukan bertempat di ruang aktiviti Taska Widuri Bestari PT 11465, Jalan BBN 6/2C, Desa Cempaka, Nilai bertarikh 5 Februari lalu, kira-kira pukul 7.47 pagi sehingga 7.59 pagi. 

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama. 

Jika didapati bersalah tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan kepada mahkamah agar wang jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan tertuduh juga diminta tidak mendekati mangsa disamping mohon satu tarikh sebutan kes bagi laporan perubatan mangsa. 

Sementara itu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Biro Guaman Kebangsaan (YBGK), A. Partheeban bagaimanapun bermohon agar satu wang jaminan paling rendah dan munasabah dapat diberikan. 

Meor Sulaiman kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin ke atas tertuduh dan kes disebut semula pada 13 Mac ini.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×