MELAKA: Pengapungan harga beras tempatan dikawal kerajaan pada harga RM26 bagi setiap 10 kilogram (kg) dilihat lebih efisien untuk menyelesaikan masalah bekalan yang belum pulih sehingga kini, meskipun pelbagai tindakan telah diambil termasuk implementasi penguat kuasaan di semua peringkat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM) Zon Selatan, Khalil Ahmad berkata, kaedah penyelarasan harga beras tempatan dengan beras import seperti terkandung dalam kertas cadangan oleh Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) kurang efektif bagi menyelesaikan permasalahan itu.
Jelasnya, ini kerana jika harga beras tempatan adalah sama dengan beras import, pengguna pastinya lebih memilih beras import atas faktor kualiti produk lantas mewujudkan kesan langsung kepada para pesawah di negara ini.
Ujarnya, sekiranya harga beras tempatan diapungkan, akan berlaku kenaikan di pasaran namun harganya kekal lebih rendah berbanding beras import.
“Isu pokok yang selama ini membelenggu semua daripada pengilang, pemborong, peruncit sehinggalah pengguna adalah harga beras tempatan yang dikawal kerajaan. Bagi setiap 10 kg dijual RM26 sekampit, peniaga hanya untung kira-kira 50 sen.
“Ini yang menyebabkan ada segelintir pengilang dan peniaga tidak berminat untuk memasarkan beras tempatan sehingga mewujudkan masalah bekalan di pasaran. Jika harganya diapungkan, contoh dijual pada harga RM31 sekampit, ia masih rendah berbanding harga beras import namun memberikan sedikit kelegaan kepada para pemain industri ini untuk memasarkannya.
“Apabila ini berlaku, masalah bekalan akan pulih kerana ada keuntungan setimpal bagi penjualan beras tempatan. Pengguna juga mempunyai lebih pilihan dengan harga yang pelbagai,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, harga beras tempatan dan import perlu diselaraskan bagi mengelakkan manipulasi dan menangani isu penipuan dalam industri berkaitan makanan asas negara itu.
Ia antara langkah yang terkandung dalam kertas cadangan oleh Mesyuarat Khas NACCOL. Cadangan itu bakal menyaksikan harga beras tempatan yang kini dijual di pasaran RM26 bagi setiap 10 kg akan meningkat kepada sekitar RM30 hingga RM33. – UTUSAN











