ROMPIN: Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan dua mayat dalam kereta di sebuah stesen minyak di Muadzam Shah di sini semalam.
Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, pihak forensik sudah dipanggil ke lokasi kejadian semalam bagi melakukan siasatan.
“Hasil siasatan mendapati tiada unsur jenayah ditemukan terhadap mangsa.
“Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menyebabkan siasatan pihak polis terganggu,” katanya di sini.
Tambah Nor Azman, kedua-dua mangsa berusia 41 tahun dan 43 tahun itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dekat sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, anggota petugas kaunter aduan Balai Polis Muadzam Shah menerima panggilan telefon daripada kakitangan stesen minyak memaklumkan penemuan dua mayat lelaki dan perempuan dalam kereta, semalam.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa memandu kenderaan dan meletakkan kenderaan di kawasan parkir stesen minyak itu pada Isnin lalu sekitar pukul 6.52 pagi. Mangsa dilihat tidak keluar daripada kenderaan tersebut,” ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi pihak polis di talian 09-4145999. – UTUSAN










