Pendawaian lama punca sebuah blok di SK Senderut terbakar - Utusan Malaysia

Pendawaian lama punca sebuah blok di SK Senderut terbakar

WAN MOHAMMAD ZAIDI Wan Isa (empat dari kiri) memotong riben sebagai simbolik penerimaan empat buah bot yang diberikan YaPEIM di Ibu Pejabat JBPM Pahang, Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kebakaran yang berlaku sehingga memusnahkan sebuah blok di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut di Pos Senderut, Kuala Lipis pada 31 Januari lalu berpunca dari masalah sistem pendawaian lama.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, punca terbabit dikenalpasti menerusi siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian.

Katanya, kemungkinan sistem pendawaian bangunan sekolah berkenaan sudah lama tidak menjalani pemeriksaan secara berkala sekali gus mengakibatkan berlakunya kebakaran.

“Kalau kita tengok hasil siasatan yang dijalankan ia berpunca daripada elektrik. Ini mungkin daripada segi pendawaiannya yang mungkin sudah agak lama dan tidak menjalankan pemeriksaan secara berkala.

“Pihak bomba menyarankan perlunya membuat pemeriksaan berkala dan jika didapati sistem pendawaian tidak berada dalam keadaan baik, ia perlu dilakukan pendawaian semula dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Acara Perbarisan Tahunan JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini hari ini.

Wan Mohammad Zaidi memberitahu, pihak bomba akan melakukan pemeriksaan pendawaian di sekolah-sekolah terutamanya yang menyediakan asrama.

“Mengikut perancangan kebiasaannya kita akan beri keutamaan terutamanya yang ada penginapan iaitu asrama termasuk sekolah Maahad Tahfiz.

“Pada tahun lalu, kita mengadakan satu gerak kerja untuk membuat pemeriksaan ke seluruh sekolah tahfiz negeri Pahang yang mana lebih 40 sekolah tahfiz dari 173 yang berdaftar sudah diperiksa.

“Kita juga berbincang dengan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk melakukan pemeriksaan bersama ke sekolah tahfiz bermula tahun ini bagi membolehkan sekolah tahfiz terbabit mendapatkan surat sokongan daripada pihak bomba sebelum mendapat kebenaran operasi dari pihak Muip dan JAIP,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN