Pegawai polis disyaki rogol saksi kes direman sehari lagi - Utusan Malaysia

Pegawai polis disyaki rogol saksi kes direman sehari lagi

PEGAWAI penyiasat (tengah) dibawa untuk mendapatkan tempoh lanjutan reman di Mahkamah Majistret Tumpat, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang disyaki merogol gadis berusia 23 tahun semasa dipanggil sebagai saksi bagi satu kes melibatkan pemerasan di ibu pejabat daerah (IPD) di sini minggu lalu, disambung reman sehari lagi bagi membantu siasatan.

Permohonan reman terhadap pegawai penyiasat berusia 38 tahun itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari bermula Selasa lalu berakhir hari ini.

Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi mengeluarkan lanjutan reman sehingga esok itu di Mahkamah Majistret Tumpat di sini hari ini.

Semasa prosiding reman berlangsung, peguam yang mewakili pegawai polis berkenaan, Mohd. Firdaus Zainal Abidin memohon lanjutan reman yang paling minimum diberikan kepada anak guamnya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan lanjutan reman selama sehari sehingga esok.

Hal ini bagi membolehkan pegawai polis tersebut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Terdahulu, pegawai penyiasat itu tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki kereta peronda polis (MPV) kira-kira pukul 8.15 pagi tadi.

Pegawai polis yang memakai jaket dengan muka dan kepalanya ditutup itu kemudiannya keluar dari mahkamah dengan menaiki kenderaan sama pada pukul 10 pagi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang pegawai penyiasat polis direman seminggu selepas disyaki merogol seorang gadis yang dipanggil ke pejabatnya sebagai saksi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat pada Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa yang berusia 23 tahun itu hadir ke IPD Tumpat untuk membantu siasatan kes pemerasan melibatkan gambar lucah rakannya kira-kira pukul 7 malam.

“Inspektor itu memanggil mangsa ke IPD Tumpat bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan gambar lucah rakannya. Gadis itu juga dipercayai merupakan saksi dalam kes tersebut.

“Bukti-bukti yang ada di lokasi kejadian sudah diambil untuk dihantar ke unit forensik,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN