Pas harap UMNO kembali dalam Muafakat Nasional

Pas harap UMNO kembali dalam Muafakat Nasional

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindak-tanduk pemimpin DAP yang didakwa sering mengeluarkan kenyataan menguris hati umat Islam diharap membuka mata UMNO untuk kembali bersama Pas menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Kebelakangan ini, sudah mula kelihatan percanggahan antara UMNO dan DAP membabitkan beberapa isu termasuk terbaharu berkaitan cadangan supaya Kampung Baru Cina di Selangor mendapat status Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, pihaknya tu sentiasa terbuka untuk menerima UMNO dengan parti berkenaan perlu meninggalkan DAP.

Katanya, agenda MN yang digagaskan Pas dan UMNO sebelum ini sudah berjalan cukup baik dengan mendapat sokongan kuat di peringkat akar umbi, namun pada masa itu UMNO tidak boleh menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berkata, Pas tidak boleh menolak Bersatu yang merupakan sebahagian daripada rakan parti itu dalam agenda perpaduan ummah.

“Selepas itu, hubungan Pas dan UMNO mula renggang dan itu adalah secara asasnya yang berlaku sebelum ini. UMNO kini menerima DAP dan kita sama sekali tidak boleh menerima DAP setelah melalui pengalaman pahit bersama parti tersebut sebelum ini,” katanya di Arau, Perlis, semalam.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar tidak menolak kemungkinan adanya kerjasama semula antara UMNO dan Pas dalam MN sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Sekiranya kerajaan ‘berpecah’ seperti sekarang, bilangan kerusi Melayu akan berkurangan dan semangat MN boleh dihidupkan semula seperti sebelum PRU16. Kalau mahu menguatkan kedudukan Melayu dan Islam, perlu baca semula prinsip MN,” ujarnya.

Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Mohd. Afifi Abdul Razak berkata, UMNO berpotensi untuknengadakan kerjasama bersama Pas kerana telah mula memberikan respons, namun belum melihat usaha ke arah itu.

“Mungkin sudah ada usaha melalui pintu belakang, kita tidak pasti. Dua isu itu dilihat sebagai peluang untuk menarik undi Melayu kepada UMNO dan Pas.

“Isu ini juga ada peluang ke arah penyatuan Melayu Islam dan menarik undi Melayu. Persoalannya, sejauh manakah UMNO dan Pas bersungguh-sungguh untuk ambil peluang tersebut?” katanya.

Tambahnya, kerjasama kedua-dua parti itu berkemungkinan boleh dibentuk selepas PRU16 bergantung kepada isu-isu lain yang menekan Melayu dan Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN