KANGAR: Kewujudan 10 hingga 15 pangkalan haram di pelantar sekitar muara Kuala Perlis dan muara Kuala Sungai Baru, di sini dipercayai menjadi lubuk aktiviti penyeludupan serta ‘port’ menagih dadah.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber memaklumkan, pangkalan haram berkenaan terdedah kepada aktiviti menghisap dadah dan berkemungkinan mereka juga terlibat dengan penyeludupan minyak subsidi seperti diesel dan petrol serta minyak masak.
Katanya, modus operandi yang selalu digunakan adalah dengan menjual minyak subsidi tersebut di atas bot di pangkalan itu.
“Banyak pangkalan atau jeti haram di Kuala Perlis iini juga mencemarkan pemandangan khususnya bersempena Tahun Melawat Perlis yang menyaksikan kedatangan ramai pelancong. Malah ramai risau apabila penagih dadah menjadikan lokasi tersebut sebagai tempat tidak sihat.
“Lebih merisaukan apabila mereka mengambil upah membeli minyak dan menjual kepada sindiket minyak untuk dijual ke Thailand.
“Penduduk ada menyampaikan masalah berkenaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk tindakan meroboh dan mengharapkan satu tindakan bersama-sama agensi dilakukan,” kata sumber tersebut.
Katanya, semua pelantar atau jeti ikan mesti berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
Justeru, dia mencadangkan JPS mengeluarkan notis awal untuk pengosongan sekurang-kurangnya dalam tempoh 14 hari kepada pemilik pangkalan berkenaan untuk kerja-kerja pembersihan.
Selain itu, katanya, wujudkan penyelarasan atau koordinasi dengan melibatkan agensi berkaitan seperti polis, Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam menyelesaikan isu berkenaan.
“Isu pangkalan haram ini bukan perkara baharu malah sudah berlarutan sejak puluhan tahun lalu sekali gus mendedahkan kepada aktiviti jenayah khususnya dadah dan penyeludupan.
“Selain itu, ia mencemarkan pemandangan pelancong yang datang ke Kuala Perlis khususnya ketika ini adalah bersempena Tahun Melawat Perlis,” katanya.
Sebagai rekod, jarak pengairan negara dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand hanya kira-kira 1.3 batu nautika dengan perjalanan sekitar beberapa minit.










