PETALING JAYA: Kemusnahan Gaza disebabkan kezaliman rejim Israel sejak 7 Oktober tahun lalu sehingga kini dianggarkan mencecah USD6.5 bilion (RM30.6 bilion).
Ia membabitkan 360,000 unit kediaman dengan 75,600 daripadanya hancur selepas dibedil tentera Israel dalam operasi ketenteraan yang masuk hari ke-120, semalam.
Selain itu, sebanyak 395 sekolah dan universiti menjadi sasaran bedilan bom dengan 100 daripadanya musnah sepenuhnya.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Aqsa Malaysia, Dr. Sharif Abushammala berkata, kemusnahan itu juga merangkumi kerosakan membabitkan 140 bangunan kerajaan, masjid (575), gereja (3), Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) (85), dan bangunan perniagaan (1,705).
Menurut beliau, berdasarkan laporan pentadbiran Gaza, kira-kira 11,120 ekar tanah pertanian turut dimusnahkan rejim Zionis dan sekitar 75 peratus bekalan elektrik di seluruh wilayah tersebut sudah rosak.
DIDAFTARKAN
“Israel turut memusnahkan lebih 200 tapak arkeologi purba daripada 325 yang didaftarkan di Gaza sepanjang serangan dahsyat dilancarkan mereka.
“Sudah pasti, ia akan mengambil masa sangat lama untuk membangunkan semula Gaza. Kemusnahan dan kesengsaraan dibawakan oleh Zionis terhadap rakyat Palestin di wilayah itu juga akan meninggalkan kesan amat dalam untuk jangka masa amat panjang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sharif berkata, antara 7 Oktober sehingga 15 Januari lalu, Zionis sudah menjatuhkan lebih 75,000 tan bom di setiap inci tanah di Gaza iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada bom atom dilepaskan di Hiroshima, Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
“Kemusnahan itu mengakibatkan kira-kira 500,000 orang di utara Gaza yang terkepung berdepan kebuluran ekstrem tanpa bekalan makanan dan air bersih. Mereka juga terpaksa meneruskan kehidupan dengan ketiadaan elektrik, bahan api malah fasiliti kesihatan pun sudah tidak beropersi lagi.
“Mereka yang terkepung di utara Gaza juga terpaksa memakan makanan haiwan dan rumput kering yang dikisar untuk mengisi perut.
“Keseluruhan rakyat Palestin di Gaza hidup dalam krisis kemanusiaan terburuk. Bedilan bom menjadi igauan mereka terutamanya kanak-kanak yang pada bila-bila masa boleh menjadi penyumbang kepada angka kematian,” katanya.
Pada hari ke-119 peperangan Palestin-Israel kelmarin, jumlah kematian dicatatkan mencecah 27,000 dengan lebih 7,000 lagi dilaporkan hilang dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan.
Dianggarkan 75 peratus kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak, wanita dan warga emas manakala jumlah kecederaan kini mencecah 66,000 orang. – UTUSAN










