PETALING JAYA: Gaji minimum bagi penjawat awam perlu dinaikkan terlebih dahulu sebelum memansuhkan pencen dan harus diteliti daripada semua aspek.
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Datuk Mokhtar Omar berkata, gaji yang diterima ketika ini masih di bawah paras minimum iaitu RM1,441 oleh setiap anggota baharu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kos sara diri di Malaysia yang tinggi.
“Gaji penjawat awam terutamanya harus dinaikkan bersesuaian dengan kelayakan dan kemahiran.
“Kemungkinan jika pencen dimansuhkan, ramai yang memilih untuk bekerja dalam sektor swasta di mana bayaran, gaji serta manfaat yang ditawarkan lebih tinggi berbanding kerja kerajaan,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar manfaat kesihatan yang diterima secara bulanan juga harus dikekalkan kerana ia menjadi kepentingan kepada semua petugas sama ada yang masih bertugas mahupun telah bersara.
“Pesara kebanyakannya berusia lebih 50 ke 60 tahun serta kondisi kesihatan mereka bukan seperti orang-orang muda yang masih lagi cergas dan tak banyak penyakit.
“Apabila manfaat kesihatan sudah tidak diberikan, ia memberi beban kepada pesara kerana ada yang memerlukan rawatan dialisis, pergigian dan pembedahan yang mungkin menelan belanja beribu-ribu ringgit,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penjawat awam lantikan baharu tidak lagi menerima pencen sebaliknya mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)
Beliau berkata, langkah tersebut bagi meringankan beban kewangan kerajaan dengan mengurangkan bayaran pencen yang dijangka mencecah RM120 bilion pada 2040.
Menurut Mokhtar Omar, pesara akan terbeban dengan pelbagai pinjaman dan komitmen ditambah pula Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang tinggi ketika ini.
“Kerajaan diminta untuk merendahkan OPR semasa dan kaji semula kadar tersebut agar seiring dengan gaji rakyat Malaysia supaya tidak memberi beban kepada pesara yang juga harus membayar pinjaman,” katanya. – UTUSAN










