KUALA LUMPUR: UMNO akan terus berusaha memastikan keadilan dan pembelaan terhadap Datuk Seri Najib Razak diteruskan seperti keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam kenyataan hari ini berkata, tindakan itu selaras dengan PAU yang mahu memperjuangkan keadilan kepada bekas Perdana Menteri dalam kes-kes dihadapinya.
“UMNO ingin menegaskan, pembelaan terhadap Datuk Seri Najib dibuat kerana merasakan beliau tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.
“UMNO akan tetap meneruskan usaha-usaha mendapatkan pembelaan terhadap bekas Presiden parti sesuai dengan laras undang-undang negara.
“UMNO juga berpegang kepada keputusan PAU2023 yang mahukan usaha pembelaan Datuk Seri Najib diteruskan,” katanya MKT UMNO dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Khas MKT hampir empat jam di Menara Dato’ Onn, hari ini.
Semalam, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengumumkan denda yang perlu dibayar oleh Najib dikurangkan dari RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028.
Dalam pada itu, kata beliau, walaupun UMNO akan meneruskan usaha pembelaan ke atas Najib, namun parti itu menghormati keputusan dan hak mutlak yang diperkenan Al-Sultan Abdullah dalam membuat keputusan itu.
“Sementara kita mendukung Perlembagaan Persekutuan, UMNO terkesan dan bersedih dengan keputusan tersebut.
“Sehubungan itu, UMNO berharap atas prinsip keadilan, Perdana Menteri akan sama-sama menjunjung semangat ini,” jelas kenyataan itu.- UTUSAN











