JERANTUT: Mayat kanak-kanak berusia 12 tahun yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Sat berdekatan Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini ditemukan kira-kira pukul 3.05 petang hari ini.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis berkata, mayat murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Sat, Ali Mustaqim Rizman ditemukan pada kedalaman 18 meter dan kira-kira 20 meter daripada jarak tempat mangsa mula dihanyutkan oleh arus deras pada pukul 3.20 petang, semalam.
“Ketika kejadian mangsa bersama lima rakannya mandi di Sungai Kuala Sat dan kira-kira 20 minit, mangsa kemudiannya menjerit meminta bantuan dipercayai hendak lemas.
“Kejadian disaksikan lima rakannya dan seorang wanita yang turut berada berdekatan tempat berkenaan dan menjerit meminta bantuan, tetapi tiada seorang pun di situ dan kemudiannya bergegas memanggil penduduk kampung tersebut, tetapi mangsa sudah tidak kelihatan dipercayai lemas,” katanya di Ibu Pejabat Polis di sini hari ini.
Menurut Azman, susulan kejadian itu, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut dihubungi pada pukul 5.30 petang semalam.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan sejurus menerima maklumat pukul 5.20 petang. Operasi ditangguhkan pukul 7.10 petang semalam kerana keadaan gelap dan disambung semula pukul 9.30 pagi hari ini dan mayat ditemukan pukul 3.05 petang hari ini.
“Sebaik sahaja ditemukan, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut,” katanya.
Ujarnya, hasil bedah siasat mendapati mangsa disahkan mati akibat lemas oleh pegawai perubatan hospital dan tiada sebarang unsur jenayah. – UTUSAN










