Masia Johor lapor polis lelaki Singapura hina Yang di-Pertuan Agong - Utusan Malaysia

Masia Johor lapor polis lelaki Singapura hina Yang di-Pertuan Agong

Zamrin (kanan) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat terhadap warga Singapura yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Malaysia di IPD Seri Alam, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Ayahanda Malaysia (Masia) Johor membuat laporan polis mendesak siasatan dan tindakan terhadap seorang warga Singapura yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan Malaysia.

Ahli Majlis Tertinggi Masia Johor, Zamrin Hamzah berkata, laporan itu dibuat merujuk video berdurasi sembilan minit 47 saat yang tular dalam di aplikasi WhatsApp sejak Jumaat lalu.

Beliau yang juga Presiden Ihsan berkata, perbuatan itu sangat biadab dan merupakan satu jenayah selain menjejaskan ketenteraman awam dan merosakkan hubungan antara kedua-dua negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang dilakukan jelas menunjukkan pelaku sengaja memperlekeh dan mempersendakan Yang di-Pertuan Agong. Kalau tidak diambil tindakan akan beri imej buruk dan pada masa sama menghantar mesej yang salah kepada rakyat Malaysia dan Singapura.

“Polis Johor dan polis Singapura perlu bekerjasama melakukan siasatan sehingga suspek ditangkap dan didakwa,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis perlu bertindak segera sebelum institut raja berterusan menjadi ‘bahan’ mempersenda golongan tidak bertanggungjawab.

Katanya, suspek tanpa berselindung dan sengaja ingin mencetuskan isu perkauman dalam Malaysia dengan cuba melakukan provokasi.

Katanya, pihaknya mahu polis dan Majlis Kehakiman Negara mengambil tindakan tegas dengan menyenaraihitamkan suspek daripada memasuki negara ini.

“Jika suspek adalah warga tempatan maka perlu dilucutkan kewarganegaraan sebagai hukuman dan pengajaran kepada semua pihak.

“Jika undang-undang sedia ada tidak mencukupi, maka akta baharu harus dipinda atau dibentangkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×