Lelaki didakwa miliki minyak diesel tanpa lesen sah - Utusan Malaysia

Lelaki didakwa miliki minyak diesel tanpa lesen sah

A. SIRIGANES dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas dua pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah pada 17 Februari lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah iaitu 22,508 liter minyak diesel pada 17 Februari lalu. 

Orang kena saman (OKS), A. Siriganes, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhana Mohd.

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS yang bekerja sendiri, didapati miliki barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 7,494 liter.

Minyak diesel tersebut dijumpai di dalam muatan sebuah lori jenis Hino dalam keadaan yang menimbulkan syak yang munasabah dan telah melakukan kesalahan yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen. 

Bagi pertuduhan kedua pula, OKS yang telah aktif melakukan aktiviti itu sejak bulan Mei 2023, didapati miliki barang kawalan yang juga merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 15,014 liter yang dijumpai di dalam muatan sebuah lori jenis Scania.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Sepang Lukut, Port Dickson kira-kira pukul 2.30 pagi 17 Februari lalu.

Oleh demikian, OKS telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama. 

Jika disabitkan kesalahan, OKS boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya didenda tidak melebihi RM5 juta atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Meor Sulaiman kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dari setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dikenakan ke atas OKS dan menetapkan 24 Mac depan untuk lantikan peguam serta serahan dokumen.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN