Kontrak penjawat awam baharu mungkin setahun

Kontrak penjawat awam baharu mungkin setahun

MOHD. ZUKI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam peringkat akhir kajian pelaksanaan Skim Pencen Penjawat Awam sebelum ia dibawa ke jemaah menteri untuk dimuktamadkan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, buat masa ini, tiada sebarang keputusan diambil berhubung skim itu, termasuk untuk menggantikannya dengan kaedah lain.

Menurutnya, ketika ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) diberikan peruntukan untuk melantik penjawat awam baharu secara kontrak dahulu, mungkin setahun atau setahun setengah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, kalau JPA tidak keluarkan arahan, dikhuatiri masih kekal melantik secara tetap dan berpencen dan ia tidak mencapai maksud apa yang nak kita kaji.

“JPA kini di peringkat akhir kajian dan akhirnya kerajaan akan meneliti atau membuat keputusan berdasarkan apa yang diputuskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Ama­nat KSN Tahun 2024 di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan melaksanakan pengambilan penjawat awam secara lantikan kontrak sehingga inisiatif kaedah lantikan baharu diperkenalkan bagi mengukuhkan lagi sistem saraan perkhidmatan awam di negara ini.

Ketika ini, inisiatif kaedah baharu itu dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan, juga dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara dalam tempoh jangka masa panjang.

Sebelum ini juga, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Laporan akhir kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan ini sebelum dibawa ke mesyuarat jemaah menteri untuk diputuskan.

Beliau dilaporkan berkata, mesyuarat pelaksanaan pela­rasan gaji itu sudah dimulakan dan akan dipercepatkan terutama di peringkat Ketua Setiausaha Negara dan Ke­tua Pengarah Perkhidmatan Awam.

“Alhamdulilllah, proses itu lebih cepat dari saya jangkakan dan ia akan diimbangi dengan keupayaan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini