KUALA LUMPUR: Berselindung di sebalik sebuah premis kediaman yang semacam tidak siap.
Itu modus operandi sebuah ‘klinik koboi’ yang dikesan menjual sijil cuti sakit (MC) kepada orang ramai dipercayai sejak empat tahun lalu.
Dengan harga serendah RM20 bagi satu hari cuti, setiap ‘pesakit’ boleh mendapatkan MC sepantas 10 minit.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kawasan premis berkenaan adalah sebuah kediaman di lorong kecil sekitar Hulu Langat dengan papan tanda mengelirukan dan tertera nombor telefon pegawai perubatan berkenaan.
Kebanyakan ‘pesakit’ yang hadir terdiri daripada golongan muda dan mereka mula menunggu sekitar pukul 10 malam ‘klinik’ itu beroperasi sehingga ditutup dua jam kemudian.
Terdapat juga dalam kalangan yang berusia sekitar 40-an memohon MC terlebih dahulu, dipercayai membuat tempahan dengan lebih awal dan terus mendapatkannya tanpa menunggu giliran seperti pesakit-pesakit lain.
Seorang ‘pesakit’ yang ditemui berkata, dia tahu kewujudan tempat ini menerusi rakan-rakan sekerjanya.
“Kalau dulu, klinik ini ada dua sesi. Siang dengan malam, tetapi sekarang hanya beroperasi waktu malam. Malah, harga pun telah dinaikkan kepada RM20, dulu RM10 sahaja,” kata pesakit tersebut.
Bagi mendapatkan kesahihan mengenai perkara ini, wartawan Utusan Malaysia melakukan penyamaran bagi mengenal pasti modus operandi klinik itu dijalankan.
GILIRAN
Pesakit perlu mengambil nombor giliran yang diletakkan di sebuah bakul di dalam klinik dan kad giliran itu hanya ditulis di atas daun terup.

Terdapat kerusi yang disediakan untuk pesakit menunggu giliran, malah turut terdapat satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di kawasan menunggu tersebut.
Pesakit juga perlu peka dengan nombor giliran masing-masing dan terus masuk ke dalam bilik pegawai perubatan untuk mendapatkan ‘rawatan’.
Ini kerana tiada sebarang panggilan akan dibuat oleh pegawai perubatan berkenaan.
Selain itu, hasil penyamaran akhbar ini turut mendapati, ‘pegawai perubatan tersebut meminta kad pengenalan untuk mengisi butiran dalam sijil cuti sakit, sambil bertanyakan jumlah hari cuti yang diperlukan dan syarikat tempat bekerja.
Ketika ditanya kepada pegawai perubatan itu mengenai mengenai operasi klinik, beliau dengan mudah menceritakan klinik tersebut telah beroperasi sejak 1983 dimana arwah bapanya yang memulakan operasi, namun kini diteruskan olehnya setelah bapanya itu meninggal dunia.
“Dulu, klinik ini lebih besar. Ramai yang boleh duduk dalam untuk menunggu. Tetapi sekarang klinik kita kecil sahaja.
“Malah, harga pun terpaksa saya naikkan kepada RM20 untuk sehari punya MC sebab saya perlu membayar sewa di sini,” katanya.
SEWA
Menceritakan keadaan itu dengan lebih lanjut, pegawai perubatan tersebut berkata, sewaan perlu dibayar kepada adiknya sendiri yang merupakan pemilik premis berkenaan.
“Adik beradik pun, saya tetap kena bayar sewa sebab saya tidak tinggal di sini. Disebabkan itu juga saya hanya buka klinik pada waktu malam bagi memudahkan perjalanan yang tidak memerlukan saya berulang alik sehingga dua kali dari rumah saya ke Hulu Langat,” katanya.
Turut ditanya, adakah arwah bapanya juga memberikan servis yang sama tanpa sebarang rawatan, beliau berkata ubat-ubatan akan diberikan jika ada pesakit yang minta.
“Yang itu kita harga lain lah,” ujarnya ringkas.
Namun, diperhatikan tiada rawatan diberikan kepada ‘pesakit’ apatah lagi memberikan preskripsi ubat, pelanggan hanya datang untuk tujuan mendapatkan ‘cuti’ yang disahkan oleh pegawai perubatan itu.
Sijil cuti tersebut turut disertakan resit pembayaran yang boleh dituntut semula dari majikan pesakit.
Biasanya resit ditulis dengan jumlah yang lebih tinggi berbanding jumlah bayaran yang dikenakan.
Selain itu, hanya seorang doktor sahaja bertugas tanpa ada pembantu klinik.
Hasil carian klinik berkenaan dalam laman web tidak menemukan sebarang keputusan. – UTUSAN










