Kita dijangka mula puasa 12 Mac

Kita dijangka mula puasa 12 Mac

puasa
Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada 12 Mac ini.

Walaupun hilal atau anak bulan Ramadan dijangka terbit pada waktu cerapan pada petang 10 Mac tetapi ia gagal memenuhi kriteria imkanur rukyah (KIR).

Demikian pandangan pakar falak terkenal tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed ketika ditanya tarikh 1 Ramadan 1445 Hijrah.

JANGKAAN

Sekiranya jangkaan itu tepat, ia tidak akan meng­ulangi situasi pada tahun lalu apabila 10 lokasi cerapan hilal berjaya merekodkan anak bulan menepati KIR ditetapkan.

“Berdasarkan kiraan umum, altitud atau ketinggian hilal ketika matahari terbenam hanya sifar darjah 42 minit iaitu gagal melepasi KIR yang kena tidak kurang tiga darjah,” jelasnya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tahun lalu, Urus Setia Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakar sejarah apabila berjaya merekodkan 10 lokasi cerapan kelihatan hilal Ramadan.

Kesemua tempat diwartakan itu menepati KIR pada petang 22 Mac 2023 malah bilangan tersebut melebihi jangkaan awal ba­nyak pihak yang mengunjurkan hanya ada lima lokasi.

Imej anak bulan yang tampak seumpama sehelai lembaran benang halus berwarna putih di atas hamparan langit itu turut dapat disaksikan dengan mata kasar di lokasi berkenaan.

MUKTAMAD

Azhari yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Peme­taan Malaysia berkata, keputusan muktamad akan diputuskan menerusi pengisytiharan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Majlis Raja-Raja pada tarikh berkenaan,” tambah beliau.

Malaysia ujarnya, mula me­ne­rima pakai standard baharu penentuan awal bulan yang merujuk pengiraan ketat KIR tertentu sejak awal Muharam 1443 Hijri atau 2021 lalu.

Sejumlah 29 lokasi telah diwartakan oleh pihak Majlis Raja-Raja untuk melakukan proses cerapan secara serentak penetapan tarikh permulaan bulan Islam termasuk Ramadan.

Ia selaras keputusan mesyua­rat kali ke-92 majlis tersebut pada 1972 lalu yang bersetuju pengisytiharan 1 Ramadan di seluruh Malaysia berdasarkan rukyah atau cerapan hilal.

Malaysia turut menjadi antara beberapa negara di dunia yang mengamalkan penetapan tarikh Hijrah dengan menggunakan kaedah hisab atau pengiraan sejak tahun berkenaan.

“Memandangkan KIR tidak dipenuhi, maka saya menjangkakan keesokan hari iaitu pada 11 Mac kelak perlu digenapkan cukup pula sebagai 30 Syaaban 1445 Hijrah,” kata Azhari.

AZIMUT

Malah hasil kiraannya yang pernah berkhidmat sebagai panel rujukan pakar falak Jakim itu mendapati azimut atau jarak lengkung pusat bulan ke matahari tidak pun menepati KIR.

Ketika matahari terbenam ujar beliau, jarak berkenaan hanya didapati satu darjah 52 minit adalah amat kurang daripada KIR yang perlu melebihi piawaian enam darjah 24 minit.

Hilal boleh dilihat secara mata kasar selain menerusi bantuan beberapa jenis teleskop, teodolit, binokular dan kamera, namun bergantung suasana la­ngit yang bebas awan tebal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN