TENOM: Pengadu dalam kes perbicaraan gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal Ebit Lew hadir sebagai saksi pada perbicaraan yang bersambung hari ini.
Wanita berusia 40-an itu adalah saksi kesembilan pendakwaan yang dipanggil bagi memberi keterangan di Mahkamah Majistret Tenom.
Mahkamah turut memasang penghadang bagi mengelakkan identity pengadu terdedah kepada pengamal media dan orang ramai yang hadir di mahkamah.
Pada awal perbicaraan, media telah dikenakan perintah larangan untuk tidak mendedahkan atau melaporkan nama dan identiti pengadu.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi Whatsapp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.
Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.
Sebelum ini, lapan saksi telah dipanggil dalam perbicaraan kes berkenaan iaitu penceramah motivasi Mohd. Fairuz Abu @ Akhi Fairuz Al-Jengkawi; Asisten Superitendan Salwani Mohd. Hadzir; pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung; Asisten Superitendan Siti Nooraini Mohd. Sahid; Asisten Superitendan Norfazliyani Zolkapeli; Superitendan Hirdawati Isa; Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz dan Inspektor Yip Chang Ching.










