Kereta dipandu penagih dadah terbabas selepas dikejar peronda lebuh raya - Utusan Malaysia

Kereta dipandu penagih dadah terbabas selepas dikejar peronda lebuh raya

SEBUAH kereta dipandu lelaki disyaki penagih dadah terbabas di Kilometer 7.6, Jalan Pedas Kundur Linggi, Rembau pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai penagih dadah terbabas ke dalam longkang selepas cuba melarikan diri daripada dikejar polis dalam kejadian di Kilometer 7.6 Jalan Pedas Kundur-Linggi di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, seorang lelaki bertindak melarikan diri selepas kereta dipandunya terbabas dikejar Peronda Lebuhraya (EMPV) Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi itu selepas suspek dikejar Peronda Lebuhraya (EMPV) Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) setelah melihat kereta itu dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kilometer 242, Lebuhraya Utara Selatan (arah Selatan).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peronda lebuh raya telah mengejar kereta tersebut sehingga masuk ke Jalan Pedas Kundur Linggi. Sampai di tempat kejadian kenderaan yang dipandu suspek iaitu seorang lelaki telah terbabas ke longkang sebelah kiri jalan.

“Suspek telah membuka pintu kenderaan dan melompat keluar lalu melarikan diri dalam kebun kelapa sawit. Turut ditemukan dalam kereta yang terbabas adalah peralatan menghisap dadah,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Hazri lagi, hasil semakan nombor pendaftaran kenderaan telah mengesan pemilik kereta seorang lelaki dan polis kini dalam usaha mengesan suspek.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di nombor 06-6851999.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini