RANTAU PANJANG: Kerajaan sudah membincangkan penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak bawah umur di negara ini menerusi Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) yang telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata, beberapa kementerian termasuk Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut mengambil bahagian dalam perbincangan itu sekali gus memperlihatkan kerajaan memandang serius perkara tersebut.
“KKD akan memantau semua perkara yang melibatkan masalah media sosial. Jadi, perkara ini sudah ada mekanismanya dan secara umumnya ia sudah ditangani dalam mesyuarat MNS,”katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian PSSS Transit Yayasan Kebajikan Negara (YKN) Rantau Panjang di Perumahan Kastam di sini hari ini.
Nancy memberitahu, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memainkan peranan dalam usaha memantau penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Katanya, bahkan pempengaruh juga perlu memberi contoh serta galakan kepada kanak-kanak supaya menggunakan media sosial ke arah yang positif.
“Ibu bapa perlu memantau anak-anak yang begitu aktif mengguna media sosial sehingga ada yang tidak mahu pergi ke sekolah dan ini adalah cabaran buat negara kita.
“Kita tidak mahu anak-anak terlalu leka sehingga tidak mahu bersekolah kerana ia boleh menjadi penyumbang kepada masalah sosial,”katanya.-UTUSAN










