Kelantan sanggah dakwaan Pasar Siti Khadijah 'sepi'

Kelantan sanggah dakwaan Pasar Siti Khadijah ‘sepi’

DAKWAAN Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan sepi tanpa pengunjung tidak benar.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZMANAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyanggah dakwaan Pasar Siti Khadijah ‘sepi’ tanpa pengunjung susulan ‘kegilaan’ rakyat negara ini ke Hatyai, Thailand sebagaimana dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, beliau telah turun padang dan bertemu dengan peniaga untuk mendapatkan maklum balas sebenar dakwaan tersebut.

Menurutnya, terdapat percanggahan maklumat apabila peniaga-peniaga kuih di pasar itu turut menafikan perkara itu sekali gus mengakui hanya berseloroh dengan mengatakan pelancong lebih memilih untuk melancong ke Hatyai, Thailand.

“Sebahagian besar pengunjung mengatakan mereka sukar ke Pasar Besar Siti Khadijah kerana jalan sesak. Itu membuktikan ramai pengunjung ke pasar berkenaan untuk mendapatkan barangan keperluan.

“Terdapat beberapa hantaran di Facebook termasuk daripada orang dalam di pasar itu yang menafikan khabar angin ikon pelancongan di tengah-tengah Kota Bharu itu tiada pengunjung,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tahun Melawat Kelantan 2024 di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Terdahulu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Perta berkenan mencemar duli menyempurnakan pelancaran TMK 2024 dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Mengulas lanjut, Kamarudin mendakwa pihak yang menularkan video dan menyebarkan isu tersebut mempunyai motif tertentu termasuk kepentingan politik.

“Saya merasakan ada motif politik di sebalik penularan video dan isu berkenaan. Jika mereka (penyebar maklumat) orang Kelantan, mereka sepatutnya membantu industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi negeri dengan berkongsi perkara-perkara positif dan maklumat tepat.

“Sebenarnya Pasar Besar Siti Khadijah memang sibuk pada sebelah pagi. Apabila petang, barangan jualan habis dan sudah tentu pengunjung berkurangan. Jadi, apabila ambil gambar atau video di sebelah petang, memang kelihatan seperti kurang atau tiada pengunjung,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×