Kejar pencuri kabel sejauh 15 kilometer, polis Temerloh buru dua suspek lelaki - Utusan Malaysia

Kejar pencuri kabel sejauh 15 kilometer, polis Temerloh buru dua suspek lelaki

Kenderaan pacuan empat roda digunakan suspek terbabas dan terbalik sehingga bertaburan kabel di kebun sawit Kampung Batu Chenor, Maran. - FOTO/IPD TEMERLOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH : Polis Temerloh memburu dua suspek lelaki tempatan yang disyaki mencuri kabel dengan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 4, Jalan Maran – Temerloh, hadapan sebuah Stesen Minyak Petronas dekat sini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Polis Mazlan Hassan berkata, bertindak atas maklumat orang awam yang melaporkan kejadian tersebut pada pukul 3.53 pagi hari ini, kereta peronda polis berjaya mengesan dua buah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Paya Pauh lalu berlaku kejar-mengejar sehingga ke persimpangan Kampung Paya Puting dekat sini.

“Unit Peronda Polis turut meminta bantuan Unit Rondaan Motosikal untuk mengejar dua buah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dan sebuah lagi, kelabu sehingga tiba di kawasan kebun sawit berdekatan Kampung Batu Bor, Chenor sejauh 15 kilometer.

“Setiba di kebun sawit tersebut sebuah kenderaan pacuan empat roda telah merempuh pagar dawai menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan lalu terbabas dan terbaik. Dua suspek lelaki telah melarikan diri ke dalam hutan, manakala sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda tidak dapat diekori,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.

Menurut Mazlan, hasil pemeriksaan polis ke atas kenderaan ini telah menemukan kira-kira 50 batang kabel optik berukuran satu meter panjang yang telah dipotong bertaburan di tanah serta peralatan pemotong kabel berada di dalam kereta.

Beliau berkata, polis juga turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna putih, 43 batang kabel besar, kabel kecil (43 batang), telefon bimbit, pemotong kabel, pita merah dan kad pengenalan suspek, manakala kerugian bernilai RM10,000.

Katanya, susulan hasil siasatan polis, di Kilometer 4, Jalan Maran – Temerloh, hadapan Stesen Minyak Petronas masih terdapat sebatang kabel yang telah ditarik sepanjang kira-kira 100 meter dalam usaha suspek cubaan mencuri dalam jarak 15 kilometer dengan tempat kenderaan pacuan empat roda terbabas di kebun sawit Kampung Batu Bor.

“Tiada kesan cap jari yang ditemukan di dalam kenderaan yang terbabas dan terbalik di kebun sawit kerana keadaan (kenderaan) kotor serta berminyak. Hasil siasatan, dua buah kenderaan yang digunakan untuk melarikan kabel tersebut tidak dilaporkan curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Mazlan berkata, berikutan kejadian itu polis di sini telah meminta bantuan unit anjing pengesan K9 dalam usaha menjejaki dua suspek lelaki tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×