SEREMBAN: Sebuah kedai menjual pelbagai barangan terpakai (bundle) seperti pakaian dan beg yang dijalankan warga Bangladesh di Seremban 2 di sini disita serta merta pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS), semalam.
Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan mendapati mereka mencabar undang-undang dengan berniaga tanpa lesen malah dikendalikan oleh warga asing.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, tindakan ke atas premis yang dipercayai telah beroperasi enam bulan lalu telah dijalankan penguatkuasa dari Jabatan Undang -Undang dan Penguatkuasaan MBS menerusi jadual pemeriksaan.
Katanya, semasa pemeriksaan dilakukan, terdapat dua orang warga asing termasuk pemilik premis berusia lingkungan 30-an berada di premis terbabit.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis perniagaan yang menjual pakaian ‘bundle’ itu menjalankan perniagaan tanpa lesen dan dikendalikan sepenuhnya oleh warga Bangladesh.
“Berikutan itu, satu tindakan sitaan serta-merta ke atas premis tersebut telah dikenakan. Pihak penguatkuasa juga mengeluarkan satu kompaun kerana berniaga tanpa lesen.
“Selain itu, satu kompaun sitaan dan satu notis penutupan premis dengan tindakan di ambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred perniagaan kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat lesen (warga asing),” katanya ketika dihubungi.
Masri berkata, kesemua barangan di dalam premis tersebut termasuklah pakaian ‘bundle’ turut dirampas.-UTUSAN.











