KUALA LUMPUR: Keadaan masih terkawal selagi mana dasar sesebuah parti tidak diangkat menjadi dasar kerajaan, dalam masa yang sama kedudukan orang Melayu selaras perkara 153 Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, ini kerana penubuhan Kerajaan Perpaduan adalah gabungan pelbagai parti dan tiada mana-mana manifesto parti yang diangkat menjadi manifesto kerajaan.
Tegasnya, ia sekaligus memberi jaminan kepada semua pihak agar tidak perlu berasa bimbang dengan beberapa perkara yang dibangkitkan khususnya daripada DAP.
“Saya faham kebimbangan yang berlaku, tetapi semua perlu ingat kerajaan hari ini tiada manifesto. Selagi ia tidak diluluskan di kabinet, tidak dibawa ke Parlimen dan membentuk dasar kerajaan, perkara itu tidak perlu dibimbangi.
“Mereka (DAP) boleh cakap apa pun, tetapi selagi ia tidak diangkat menjadi dasar kerajaan, ia tidak menimbulkan sebarang masalah. Lagipun, UMNO juga pernah menentang Gerakan sewaktu ketika dulu dan UMNO pernah membuat bantahan sebagai amaran kepada isu yang dibawa, akhirnya tiada apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi yang berlaku pada waktu kini membabitkan beberapa isu sensitif yang dimainkan seperti cadangan Lim Kit Siang berkenaan Perdana Menteri bukan Melayu; Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai (pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan); Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham (pakar bukan Islam dalam jawatankuasa Syariah) dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming (kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco).
Mengulas lanjut, Razlan berkata, dalam hal ini, keadaan sepatutnya lebih tertumpu kepada pembangunan negara dan ekonomi rakyat daripada sentimen perkauman yang hanya mampu menjejaskan kestabilan politik.
“Selagi mana ia tidak bertembung dari segi perlembagaan, bawalah. Tetapi kita di pihak UMNO, kita akan tetap mempertahankan agama Islam, isu bahasa, kedudukan orang Melayu dalam perlembagaan.
“Saya rasa adalah lebih elok dasar parti ini diketepikan dan mengutamakan pembangunan rakyat dan isi perut rakyat. Itu lebih penting,” ujarnya lagi. – UTUSAN










