Kampung Baru Cina: DAP bakal dilabel parti diskriminasi - Utusan Malaysia

Kampung Baru Cina: DAP bakal dilabel parti diskriminasi

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: DAP bakal dilabel sebagai parti mengamal diskriminasi sekiranya cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) diteruskan.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, cadangan Menteri Perumahan dan kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu akan memberi kesan pada imej partinya sendiri.

Ini kerana, kata beliau, cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO itu dibuat tanpa melibatkan kepentingan komuniti-komuniti lain.

“Jika hendak berjaya sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (perlu ada) laporan terperinci dalam dua jilid dari pelbagai aspek. Antaranya dari sudut sejarah, nilai-nilai kehebatan sejagat, butiran saintifik selain unsur-unsur bernilai tinggi keindahan, senibina dan ketersohoran mesti disiapkan.

“Proses ini seperti yang dilakukan untuk Melaka dan Pulau Pinang (pada tahun) 2009 yang wajib disiapkan, dibentang dan diperakukan. Kesemuanya makan masa lebih tiga tahun,” katanya di dalam kenyataan.

BUDAYA

 Sebelum ini, Kor Ming berkata, KPKT sedang merangka rancangan untuk mencalonkan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak keras pelbagai pihak termasuk UMNO yang menyifatkan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Mengulas lanjut, Dr. Rais berkata, Seksyen 67 Akta Warisan Kebangsaan 2005 wajib dipatuhi dalam isu tersebut.

“Dalam erti kata lain, adanya bukti keutuhan sejarah, saintifik, seni dan keindahan yang unggul serta unsur-unsur sejagat yang ditetapkan UNESCO,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mendakwa kandungan kisah simpati komunis semasa darurat iaitu pada tahun 1948 hingga 1960 di tujuh Kampung Baru Cina akan menghalang cita-cita Ahli Parlimen Teluk Intan itu daripada lulus sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Ini adalah kerana kaitan penjahat komunis yang dikaitkan dengan ribuan pembunuhan kejam terhadap orang awam dan penjawat keselamatan dalam tempoh tersebut.

“Kampung Baru Kuala Lumpur, Kampung Datuk Keramat, Kampung Orang Asli, Rumah Panjang Sarawak, Little India Brickfields dan lain-lain langsung tidak diambil kira. Sedangkan tapak sejarah purba Lembah Bujang yang berusia 2,000 tahun juga tidak diambil kira,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN