JANJI untuk membangunkan kampung baru Cina dalam kempen setiap pilihan raya bukan sahaja perkara sensitif.
Juga ia menimbulkan polemik. Ini kerana selain mahu dilakukan secara besar-besaran oleh etnik Cina, kampung ini mahu juga ditambahkan sisi sosiobudaya Cina agar lebih terserlah kecinaannya.
Sehubungan kampung ini, ia secara eksklusifnya didiami etnik Cina. Ini ekoran daripada sejarah penubuhannya semasa darurat, iaitu keadaan mengganas oleh Parti Komunis Malaya sehingga pihak kolonial British terpaksa mengisytiharkannya pada 18 Jun 1948 sebagai krisis negara.
Pada 1950, British melaksanakan Rancangan Briggs, iaitu penubuhan ratusan penempatan yang rata-ratanya dihuni oleh etnik Cina sahaja. Ia bertujuan untuk memutuskan rantaian etnik Cina yang didapati banyak membantu pengganas komunis yang berjuang dari dalam hutan.
Dalam hal ini, sekitar setengah juta etnik Cina dari pelbagai kawasan berlainan, ditempatkan dalam kampung ini, dengan kawalan amat ketat oleh British. Ini adalah untuk memastikan hubungan pihak komunis untuk memperoleh apa-apa jua bantuan, khususnya makanan dan ubatan, langsung terputus.
Dalam pada itu, etnik Cina ikut dikawal pergerakan mereka, termasuk bekalan makanan sendiri dalam kawasan kampung ini. Langkah itu serta banyak lagi adalah untuk bukan sahaja memutuskan, juga memusnahkan rangkaian kepada komunis dalam hutan yang selalu keluar mengganas di pekan dan bandar.
Melalui penubuhan kampung ini sebagai kem tahanan, ia sebenarnya mempunyai impak positif terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara. Sehubungan ini, darurat boleh dikatakan tiada lagi pada 1955, walaupun tidak diumumkan secara rasmi sehingga pada 31 Julai 1960.
Kini ratusan kampung baru Cina ini dibangunkan semula oleh kerajaan, melalui pelbagai usaha pembaharuan yang bukan sahaja banyak, juga komprehensif. Ini termasuklah projek prasarana sebagai antara keutamaannya.
Begitu juga untuk tujuan pelancongan budaya.
Untuk tujuan pelancongan, pembangunannya hendaklah berpada-pada, iaitu secara sederhana sahaja dan sesekali tidak boleh berlebih-lebihan dari segi sosiobudaya.
Ini kerana pembangunan sosiobudaya di negara ini sama sekali tidak boleh terpisah daripada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021.
DAKEN bukan sahaja kesinambungan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971, juga penegasannya. DKK ditekankan bahawa budaya Melayu dan ajaran Islam adalah teras utama lagi tunggal kepada kebudayaan kebangsaan negara ini.
Pun begitu, mana-mana unsur daripada budaya etnik bukan Melayu, yang tidak bercanggah dengan amalan Melayu, selain juga yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam, boleh diikutsertakan.
Inilah tekadnya seperti yang dipersetuju pada Perjanjian Etnik 1955 yang secara longgarnya lebih dikenali sebagai kontrak sosial. Pada perjanjian itu, etnik Melayu memberi kerakyatan kepada yang bukan Melayu.
Ini kerana etnik bukan Melayu sendiri mahu terus tinggal di negara ini setelah British meninggalkannya.
Sebenarnya kerakyatan itu adalah pertukaran kepada penerimaan empat perkara.
Ia adalah agama Islam sebagai agama negara, bahasa Melayu selaku bahasa negara, kedudukan istimewa etnik Melayu selaku tuan milik negara ini, dan kekuasaan Raja Melayu sebagai pemerintah di negara ini.
Keempat-empat perkara ini adalah antara filsafat kebangsaan yang utama di negara ini. Dengan ini, ia bermakna ada kewajipan untuk memahami kebenaran pada empat perkara itu dalam merealisasi kerakyatan yang diberikan.
Dengan ini, pembangunan kampung baru Cina tidak boleh bersifat ingin memajukannya dengan sewenang-wenangnya, tanpa langsung mahu mengambil kira tekad kontrak sosial itu.
Ini sebenarnya adalah antara isu hangat yang timbul apabila topik pembangunan kampung baru Cina disentuh.
Oleh sebab sifatnya yang rata-ratanya eksklusif etnik Cina dari segi kependudukan, kampung ini mahu dianggap, malah ingin dipercayai oleh etnik Cina sebagai penempatan Cina yang bukan sahaja hanya Cina, juga total Cina.
Walaupun ia benar dari satu segi, iaitu dalam konteks mikro pada kependudukannya yang rata-ratanya memang Cina pun.
Sebaliknya, ia sama sekali tidak benar dalam konteks makro kerana setiap kampung baru Cina di negara ini berada secara automatik bawah pemerintahan Melayu-Islam, ekoran negara ini ialah bumi Melayu-Islam.
Sehubungan ini, jati diri Melayu-Islam adalah filsafat kebangsaan di negara yang wajib diterapkan dalam bentuk nasionalisme tertentu pada kesesuaiannya pada setiap entiti selain semua ketika.
Dalam membangunkan kampung ini, khususnya untuk tujuan pelancongan budaya, ia tidak boleh sama sekali bersifat totok Cina atas pelbagai alasan.
Antaranya penempatan Cina yang sangat eksklusif Cinanya, justeru harus terus bersifat sebegitu, malah dipertingkat lagi untuk lebih menonjolkan sosiobudaya Cina.
Sehubungan pembangunan yang wajib mengambil kira secara serius, akan identiti nasional bagi negara dan identiti budaya bagi rakyat Malaysia, kampung ini hendaklah ikut memastikan keberadaannya pada setiap masa selari dengan jati diri Melayu-Islam dalam bentuk nasionalisme yang bersesuaian.
Untuk pembangunan seterusnya, ia sama sekali tidak boleh bercanggah dengan kebudayaan negara pada DAKEN 2021 itu.
Ini kerana DAKEN ikut menjunjung empat perkara pada kontrak sosial itu yang kini termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada sebilangan perkara.
Untuk Perkara 3 yang memaktubkan agama Islam sebagai agama negara melalui ungkapan agama persekutuan, kampung ini hendaklah ikut menjunjung moraliti nasional yang dikawal oleh ajaran Islam.
Dengan ini, apa-apa jua amalan dan kegiatan moral di dalamnya, hendaklah selalu dipastikan bukan sahaja tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Juga yang tidak sesekali akan mencemarkan citra negara dari segi kebudayaan kebangsaan di negara ini.
Alasan etnik Cina sebagai bukan pun penganut agama Islam tidak boleh sama sekali digunakan untuk menghalalkan amalan dan kegiatan yang wujud secara terbuka, dan yang terang-terangan pula tidak selari dengan tuntutan moraliti awam di negara ini.
Ini termasuklah penganjuran persembahan tertentu yang kontroversial sifatnya dari segi moraliti etnik Cina sendiri, apatah lagi moraliti nasional.
Walaupun ia penempatan total Cina, bahasa Melayu selaku bahasa negara wajib diberikan keutamaan tertinggi. Dalam hal ini, ia tidak boleh sama sekali bersifat penggunaan bahasa etnik Cina sahaja di segenap pelosoknya.
Ini kerana kampung ini ikut dikunjungi etnik lain, antaranya atas urusan rasmi.
Oleh itu, ia hendaklah bersifat mesra etnik bukan Cina dengan wajib menggunakan bahasa Melayu secara berleluasa, signifikan dan dominan, seperti yang termaktub pada Perkara 152.
Kedudukan istimewa etnik Melayu pada Perkara 153 selaku pemilik negara ini tidak boleh sesekali tidak mahu diendahkan di kampung ini. Ia penghormatan yang wajib selalu diberikan dalam apa-apa jua hal selain di mana-mana jua tempatnya.
Dalam hal hormat ini, ia bukan sahaja semata-mata untuk menunjukkan takzim dalam menjaga maruah etnik Melayu, lebih daripada itu, ia adalah untuk menghargai jasa mereka.
Oleh itu, segala apa yang mahu dilakukan etnik Cina di kampung ini, waima untuk hanya etnik Cina sahaja, hendaklah selalu difikirkan tentang etnik Melayu yang maruah dan budi mereka yang wajib diberikan pertimbangan serius lagi wajar pada setiap masa.
Penghormatan kepada etnik Melayu pertama-tamanya hendaklah dilakukan kepada Raja Melayu.
Ini kerana Raja Melayu adalah simbol kedaulatan negara ini. Sehubungan kedaulatan ini, ia terdiri daripada dua jenis, iaitu kedaulatan dalaman dan luaran.
Sehubungan ini, khususnya kedaulatan dalaman, Raja Melayu, sama ada di peringkat negeri mahupun negara, adalah pemerintah kepada semua rakyat.
Dengan ini, etnik Cina sebagai sebahagian daripada rakyat di negara ini, memang tertakluk secara langsung dan sepenuhnya kepada pemerintahan Raja Melayu, seperti yang termaktub pada Perkara 181.
Dalam hal pemerintahan ini, Raja Melayu mempunyai sebilangan wasiat yang harus dilangsaikan. Antaranya adalah perlembagaan, agama Islam, bahasa Melayu dan kedaulatan negara yang wajib dipertahan untuk dilindungi.
Atas dasar perlindungan inilah, pembangunan kampung baru Cina tidak boleh bersifat sembarang. Dengan ini, ia hendaklah dilakukan dalam kerangka pembangunan yang lebih menyeluruh.
Antara yang terutama ialah dalam konteks negara ini sebagai bumi Melayu-Islam.
Ini sangat penting juga untuk terus melestarikan Malaysia dalam konteks kedaulatan luaran, iaitu sebagai negara Melayu-Islam yang berwibawa lagi berpengaruh di mata seluruh dunia. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).








