Kakitangan MBJB gempar, terima ancaman bom - Utusan Malaysia

Kakitangan MBJB gempar, terima ancaman bom

KAKITANGAN MBJB diarah berkumpul di luar bangunan apabila menerima panggilan ancaman bom di Menara MBJB, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai, khususnya petugas di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) gempar apabila menerima kiriman e-mel berkaitan ancaman bom pagi tadi.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, e-mel tersebut diterima MBJB dan dibaca oleh pegawai bertugas pukul 10 pagi.

“Dalam kiriman e-mel am itu terdapat ancaman-ancaman yang akan berlaku pada hari ini. Saya tidak mengambil ringan hal ini dan telah menghubungi pihak polis dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk buat siasatan dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita di Menara MBJB.

Menurut Noorazam, semua kakitangan diarahkan diarahkan turun ke tempat berkumpul di luar menara tersebut dan menutup taman asuhan kanak-kanak (Taska).

“Saya berharap tidak ada yang buat spekulasi dan yang paling penting kita menjaga setiap kakitangan MBJB,” katanya.

Lebih 600 pekerja diarahkan berkumpul di kawasan lapang di luar bangunan.

SEORANG anggota polis melakukan pemeriksaan di luar kawasan Menara MBJB, Johor Bahru.

Setelah peperiksaan menyeluruh dilakukan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM), semua kakitangan kemudian dibenarkan memasuki pejabat semula pada pukul 2.05 petang setelah keadaan selamat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Pada Oktober tahun lalu, sebuah pusat beli-belah, South Key menerima ancaman bom sehingga memaksa ribuan pelanggan dan pekerja diarahkan keluar dari bangunan berkenaan.

Selepas itu, pada November tahun lalu, enam buah sekolah swasta di negeri ini turut menerima kiriman e-mel mengenai ancaman bom. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×