Jangan sentuh hak orang Melayu kalau mahu kerjasama dalam PRU16

Jangan sentuh hak orang Melayu kalau mahu kerjasama dalam PRU16

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan tidak membuat sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu jika berhasrat meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana ia akan memberi kesukaran kepada UMNO di peringkat akar umbi untuk memberi pe­nerangan, malah kerjasama ini juga tidak akan diterima oleh orang Melayu khususnya.

“Jika ini yang dinyatakan oleh Presiden, maka kita kena perhebatkan penerangan untuk ahli-ahli di bawah ini dan kita mohon agar perkara-perkara yang sensitif bagi orang Melayu jangan dibangkitkan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

SUSAH

“Jika masih lagi ada sesete­ngah pihak yang masih bermain dengan isu yang sensitif dengan orang Melayu, maka saya rasa susah untuk peringkat bawahan menerima dan mungkin sukar untuk akar umbi UMNO me­nerima pakatan ini,” katanya menerusi WhatsApp semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mahu kerjasama kukuh membabitkan BN dan PH diteruskan selepas PRU16.

Jelas Ahmad Zahid, keserasian ini perlu dipamerkan bukan sahaja di peringkat kepemimpinan tertinggi, malah juga di peringkat akar umbi termasuk di peringkat bahagian dan cawangan.

Namun begitu, Akmal melontarkan kebimbangan susulan prestasi UMNO yang dilihat semakin merosot berdasarkan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, sekali gus memberi signal yang orang Melayu masih menolak gabungan kerjasama BN-PH.

Dalam hal ini, tegasnya, beliau akan mencadangkan kepada parti agar tidak meneruskan kerjasama jika parti dalam Kerajaan Perpaduan terus melanggar prinsip-prinsip yang dipegang oleh parti itu.

“UMNO adalah parti asas Melayu dan bumiputera, maka kita akan tetap dengan pendirian dulu kini dan selamanya untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara. Jika ada isu-isu sensitif dimainkan oleh parti dalam kerajaan, maka sudah pasti kerjasama ini sukar untuk kita teruskan sehingga PRU16.

“Kita tidak akan tunduk dengan sesiapa yang cuba mempermainkan isu-isu sensitif dan mengganggu gugat agama, bangsa dan negara,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, beberapa kenya­taan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dibuat, antaranya Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham dan bekas Pengerusi DAP, Tan Sri Lim Kit Siang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN