PETALING JAYA: Pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan diminta tidak mengeruhkan hubungan sesama mereka demi kebaikan semua pihak.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata, UMNO tidak seharusnya membangkitkan semula isu-isu sensitif khususnya berkaitan hak orang Melayu jika tidak mahu merosakkan hubungan dengan parti-parti dalam kerajaan khususnya DAP.
Menurutnya, UMNO sebagai parti Melayu terbesar tidak seharusnya tercabar dengan kaum Cina dan India yang merupakan kaum minoriti di negara ini.
“Kami minoriti dalam masyarakat kita. Macam mana pula yang minoriti ini boleh mencabar hak kaum yang majoriti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh mengingatkan parti-parti dalam kerajaan agar tidak membuat sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti orang Melayu jika berhasrat meneruskan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU16.
Katanya, ini kerana ia akan memberi kesukaran kepada UMNO akar umbi untuk memberi penerangan kepada rakyat.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan berkata, BN akan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU16.
Teresa berkata, Pemuda UMNO sepatutnya menjelaskan secara khusus mengenai hak orang Melayu yang dikatakan disentuh parti politik lain.
Beliau turut mencabar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu untuk membuktikan jika benar parti dimaksudkannya menyentuh hak orang Melayu.
“Sepanjang saya menjadi ahli Parlimen pun, tidak pernah sentuh hak orang Melayu. Pemimpin muda seperti Muhamad Akmal ini harus beri contoh khusus tentang tuduhannya.
Teresa berkata, hubungan antara UMNO dan DAP ketika ini adalah baik, sebaliknya pembangkang yang dilihat sering memainkan isu 3R (agama, raja dan kaum) sehingga DAP terpalit dalam situasi tersebut.
“Contohnya, isu pemimpin DAP dikaitkan ada pertalian darah dengan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng. Ini yang dimainkan oleh pembangkang.
“Saya juga tidak pernah bersikap anti-Melayu. Carilah dalam mana-mana ucapan saya, tidak ada,” katanya. – UTUSAN










