KUANTAN: Tidak perlu ada suara ketiga terutama dalam UMNO dan DAP yang bertindak memanjangkan serta mengeruhkan isu cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ini kerana, Kor Ming sudah berhenti mengulas dan enggan memanjangkan lagi isu terbabit kerana dikhuatiri ia akan menimbulkan lebih banyak polemik serta salah tafsir pelbagai pihak.
“Semua pihak dalam UMNO dan DAP perlu ada persefahaman supaya kerjasama yang dibentuk menerusi kerajaan Perpaduan pada ketika ini terus harmoni dan kita dapat memberikan fokus utama kepada mentadbir negara ini dengan baik.
“Jika ada sebarang kenyataan, ia perlu dibincangkan menerusi jawatankuasa khas bagi membolehkan mana-mana pemimpin UMNO dan DAP menyemak sebarang kenyataan yang dianggap sensitif sebelum ia disebarkan.
“Pokok pangkalnya, perlu ada persefahaman antara kedua-dua parti tentang isu-isu sensitif dan berbincang dalam kamar sebelum keluar kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh membuat permohonan maaf terhadap Kor Ming berhubung isu cadangan menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Yu Hui dilaporkan berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO perlu bertindak terhadap Muhamad Akmal kerana kenyataannya tentang tawaran ‘pembelajaran sejarah’ kepada Kor Ming sudah merosakkan hubungan kerjasama antara UMNO dan DAP dalam kerajaan Perpaduan.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, beliau menghormati kenyataan Ahli Parlimen Raub, tetapi janganlah perkara itu terus dipanjangkan dan dihangatkan kerana ia sudah pun ditutup buku.
Dalam masa yang sama, katanya, beliau menyokong ketetapan Muhamad Akmal yang menyatakan ketegasan Pemuda UMNO berhubung isu tersebut.
“Kita juga memuji pendirian Kor Ming yang menyatakan lebih baik isu itu tidak terus dipanjangkan sebaliknya fokus kepada agenda lain yang lebih memberi faedah kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pemimpin UMNO dan DAP perlu bijak dan move on tentang isu tersebut kerana sebarang kenyataan tanpa semak dan imbang oleh kedua-dua parti juga boleh menyebabkan gangguan psikologi kepada rakyat.
“Apa yang terbaik adalah, apabila DAP membuat kenyataan, UMNO memberikan teguran secara berhemah. Begitu juga sebaliknya.
“Hentikan perbalahan, fokus utama ketika ini menstabilkan politik dan meningkatkan ekonomi negara serta menangani isu kos sara hidup rakyat. Ini kerana, rakyat sentiasa mengukur prestasi kerajaan dalam menawarkan khidmat kepada mereka,” katanya. – UTUSAN










