Jangan jadikan isu kejatuhan ringgit sebagai modal politik - Anwar - Utusan Malaysia

Jangan jadikan isu kejatuhan ringgit sebagai modal politik – Anwar

Anwar Ibrahim diiringi Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa beramah mesra dengan penulis Mushaf al-Quran selepas Majlis Perasmian Restu Global Quranic Arts Festival 2024 di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajayahari ini. - UTSUAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan segelintir pihak khususnya pihak pembangkang supaya tidak menjadikan isu kejatuhan ringgit sebagai modal politik.

Perdana Menteri berkata, beliau mengakui ketika ini negara berdepan masalah ringgit namun, angka dan data ekonomi menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat.

“Sementara kita cari jalan untuk perbaiki (memulihkan matawang ringgit), jangan jadikan ini (isu kejatuhan ringgit) sebagai sepak terajang politik hingga mengabaikan fakta sebenar.

“Walaupun kita ada masalah ringgit tapi pelaburan tahun lalu paling tinggi dalam sejarah. Kadang-kadang orang lupa..bila jadi isu politik, mereka nak hentam saja,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Restu Global Quranic Art Festival di Kompleks Nasyrul Quran, di sini hari ini.

Menurut beliau, jika dunia tiada keyakinan maka sudah tentu pelaburan negara akan berada pada kadar perlahan.

Anwar berkata, rakyat perlu bangga apabila beberapa petunjuk ekonomi negara berada pada landasan sepatutnya biarpun keadan ekonomi dunia masih lembap.

KADAR

“Ketika ini, kadar inflasi negara menurun malah, kadar pengangguran juga menurun dan pertumbuhan ekonomi kita dapat dipertahankan dalam keadaan dunia lembap.

“Walaupun kita harus tangani masalah ringgit tapi ia masih ditentukan oleh dolar AS.

“Sehingga hari ini, kira-kira 25 peratus nilai dagangan dua hala Malaysia – China bersamaan RM250 bilion diselesaikan dalam ringgit dan renminbi. Kita tak guna AS dolar.

“Kalau guna ringgit dan matawang renminbi maka, isu dolar AS tidak ada kesan. Apa yang kita bimbang adalah kalau ringgit jatuh kemudian inflasi naik dan pelaburan terbantut,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Anwar turut melancarkan Mushaf Al-Ummah dan Buku ADAB Madani.

Penyalinan manuskrip al-Quran Mushaf Al-Ummah itu disertai 100 penyalin yang mereka dikehendaki menyalin mushaf itu di dalam Dewan Abdullah Bukhari selama dua hari.

Program itu bertujuan mengembalikan tradisi menyalin al-Quran sepertimana yang dilakukan sepanjang sejarah Islam bermula sejak zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.

Festival itu berlangsung selama 10 hari, bermula semalam hingga 3 Mac ini yang menyediakan pelbagai aktiviti termasuk pameran Jubah melambangkan saiz Nabi Adam AS,
pameran hiasan dalaman rumah Islam, artifak Rasulullah SAW, koleksi replika pedang para Sahabat RA dan lawatan ke lantai kilang pencetakan al-Quran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN